Jasa kapitan Cina Yap Ah Loy dalam membangunkan Kuala Lumpur daripada kawasan penempatan perlombongan bijih timah selepas perang saudara Selangor juga disebut Perang Klang pada awal 1870an tidak harus dilupakan daripada lipatan sejarah.

Cicit kapitan Cina itu, James Yap Mook San, 80, berkata kecekalan moyangnya itu sebagai arkitek Kuala Lumpur harus sentiasa berada dalam sanubari warga kota terutama generasi muda.

“Selepas perang saudara, Kuala Lumpur umpama padang jarak padang tekukur, lombong bijih musnah. Ramai yang berputus asa dan meninggalkannya, namun moyang saya tetap bertahan dan berusaha membangunkan semula kawasan penempatan itu.

“Beliau (kapitan Yap) meminta orang ramai menanam padi dan tanaman lain. Beliau berhutang untuk membangunkan kawasan itu dan hampir muflis ekoran kemerosotan harga bijih timah, namun tidak pernah berputus asa,” katanya baru-baru ini.

James berkata, sungguhpun dilanda musibah pada 1881 apabila sebahagian besar kawasan penempatan itu hangus dijilat api dan banjir besar yang menghanyutkan rumah penduduk pada akhir tahun sama, ia sama sekali tidak mematahkan semangat moyangnya itu terus membangunkan Kuala Lumpur.

“Persoalannya adakah Kuala Lumpur akan wujud seperti adanya sekarang tanpa usaha gigih Yap Ah Loy serta pengikutnya untuk tetap bertahan dan membangunkan Kuala Lumpur?” tanyanya.

Ekoran pembangunan Kuala Lumpur, Residen British memindahkan pejabatnya dari Klang dan ini membuka jalan ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota Malaysia.

Sementara itu anak James, Glenn Yap bersependapat dengan bapanya bahawa Yap Ah Loy meletakkan batu asas kepada Kuala Lumpur sehingga muncul seperti apa yang kelihatan sekarang.

“Beliau melakukan banyak perkara ketika memimpin. Beliau menubuhkan kilang membuat batu bata di Brickfields yang menjadi asal-usul nama tempat itu. Beliau membina sekolah Cina yang pertama, tokong, rumah kebajikan untuk yang sakit serta infrastruktur asas,” katanya.

J M Gullick dalam bukunya, The Story of Kuala Lumpur (1857-1993) menyifatkan Yap Ah Loy sebagai tuan di Kuala Lumpur sehingga 1879, sebelum campur tangan British yang mengambil alih kawasan itu.

Abddur-Razzaq Lubis dalam bukunya Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur, tidak menafikan bahawa Yap Ah Loy memainkan peranan besar dalam membangunkan semula Kuala Lumpur selepas Perang Klang sehingga 1889.

James berpendapat sumbangan moyangnya itu seharusnya dilestarikan dan diingati sepanjang masa di tempat seperti Medan Pasar, Pasar Seni dan Tokong Sin Sze Si Ya.

Beliau berharap Medan Pasar dapat dinamakan sebagai Medan Yap Ah Loy kerana di situlah kediamannya dibina dan tempat beliau memulakan perniagaan.

Yap Ah Loy meninggal dunia pada 15 April 1884, ketika berusia 47 tahun.

- Bernama