Kekayaan hasil semula jadi seperti hasil hutan dan laut sentiasa menjadi tarikan buat pengunjung yang singgah ke daerah Sri Aman.

Bagi penduduk yang mendiami kawasan tebing sungai Batang Lupar di daerah tersebut, hasil laut seperti ‘Kuyung’ atau siput sedut tidak lagi asing buat masyarakat tempatan sehingga ia dijadikan sumber pendapatan.

Di Kampung Melayu Bundong, Lingga, Sri Aman fenomena air pasang besar amat dinanti-nantikan penduduk. Ini kerana hasil laut yang lebih dikenali sebagai ‘Kuyung Bundong’ dalam kalangan mereka dijadikan sumber untuk menjana pendapatan sampingan terutama ketika musim Ramadan ini.

Salah seorang penduduknya, Muhammad Faizul Abdullah berkata, apabila tibanya fenomena itu, penduduk sangat teruja untuk turun ke kawasan paya dan tebing sungai yang terletak tidak jauh dari kampung itu untuk mengumpul Kuyong Bundong.

“Kehadiran Kuyung Bundong dengan jumlah yang banyak sekali gus memberi rezeki lumayan kepada penduduk berhampiran lokasi itu berikutan ia boleh dijual sehingga RM2 satu cawan.

“Selalunya untuk satu kutipan, saya mampu mendapat sehingga RM50,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Tambah Muhammad Faizul, ciri-ciri siput sedut yang ditemui di kawasan itu adalah ia memiliki cengkerang tajam, panjang mencecah 12 sentimeter serta berwarna hitam pekat.



Manakala bagi penduduk lain, Maslena Yassin, keenakan Kuyung membuatkan makanan eksotik ini mempunyai penggemar tegar yang sentiasa tercari-cari untuk dijadikan juadah.

“Sejak dari dahulu lagi, Kuyung Bundong ini menjadi makanan kegemaran kami seisi keluarga.

“Kuyung ini sedap dimasak lemak cili api dan mudah didapati di kawasan paya. Kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati Kuyung ini sebagai juadah berbuka,” jelasnya.