SUNGAI PETANI: Terkenal dengan kemudahan eksklusif antaranya ruang permainan kanak-kanak dalam masjid, rumah kucing dan aktiviti sukan berkuda, menjadikan Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang terletak di Sungai Layar di sini, tular di seluruh negara.

Selain itu, inisiatif Madad menyediakan duit poket kepada kanak-kanak yang menyertai solat Subuh berjemaah sebelum ke sekolah, turut mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.

Cadangan terbaharu, Madad berbesar hati menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pelajar sebaik sahaja mereka selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Idea itu timbul selepas melihat kepada sokongan menggalakkan selain mahu melancarkan perjalanan ke sekolah. 

Madad bercadang menyediakan perkhidmatan pengangkutan pelajar ke sekolah selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid. - Foto Sinar Harian


Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra berkata, setakat ini terdapat lebih 2,000 pelajar berdaftar, namun jumlah yang datang berjemaah di masjid setiap hari hampir 200 orang.

"Kemungkinan permulaan ini kita akan pajak van untuk menghantar pelajar ke sekolah dan kini masih dalam proses penyusunan data budak-budak yang mai (datang) masjid untuk Subuh berjemaah," katanya.

Jelas beliau, sekurang-kurangnya lima buah van akan disediakan membabitkan kapasiti kira-kira 100 orang yang bersekolah dalam radius lima kilometer dari Madad. 

Kanak-kanak beratur bagi mendapatkan duit poket kerana berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid sebelum ke sekolah. - Foto Sinar Harian



Mohammad Yaakub berkata, perkhidmatan itu disediakan secara percuma, namun syarat yang akan dikenakan masih dalam perbincangan seperti contoh tidak ponteng solat Subuh berjemaah dalam tempoh dua minggu berturut-turut dan syarat lain yang akan ditetapkan.

Katanya, cadangan itu juga dapat mengurangkan beban dan menjimatkan masa ibu bapa sekali gus memupuk semangat anak-anak yang mengutamakan solat. 


Mohammad Yaakub (kiri) bersama jemaah cilik yang menunaikan solat Subuh berjemaah sebelum ke sekolah. - Foto Sinar Harian



"Budak-budak ini ada satu rutin, nak pupuk mereka bangun awal mulakan hari dengan Subuh berjemaah dan terus ke sekolah, sebab ada kajian mengatakan permulaan pagi itu sangat penting.

"Kalau spoil mood di waktu pagi akan beri kesan sepanjang hari, jadi nak hiaskan permulaan pagi kanak-kanak ini dengan keindahan dan kebaikan beribadat, tercetuslah idea ini," katanya. - Sinar Harian