APABILA disebut istilah 'mak cik dan pak cik bawang', kita secara tidak langsung akan mengaitkannya dengan perkara negatif.

Namun berbeza dalam situasi ini, kita mungkin akan berasakan ada baiknya juga kewujudan golongan ini.

Selepas tular kisah 'ayam rendang perlu rangup' seperti yang dilaporkan beberapa portal termasuk Astro AWANI semalam, semakan terbaharu mendapati video episod yang memaparkan penyingkiran Zaleha Kadir Olpin di YouTube rasmi MasterChef UK, telah dipadamkan.

Laman itu semalam diserang oleh netizen bukan sahaja dari Malaysia, malah dari negara-negara Nusantara termasuk Indonesia dan Brunei.

Bukan sahaja mempersoalkan kredibiliti juri, malah tidak kurang juga yang meninggalkan komen berbentuk sindiran dan mengecam pihak produksi.

Pada mulanya, laman itu hanya menutup ruangan komen, namun difahamkan, ia terus dipadamkan sekitar jam 11 pagi tadi.

Ia berkemungkinan besar berpunca daripada kemarahan bertubi-tubi netizen terhadap komen tidak masuk akal juri pertandingan itu, John Torode dan Greg Wallace, terhadap juadah nasi lemak rendang ayam yang dimasak Zaleha.

Zaleha, 48 tahun, yang berasal dari Kuantan, Pahang, merupakan salah seorang peserta MasterChef UK musim ke-14.

Dia yang kini menetap di Bristol, UK bersama suami dan dua anak mereka, menyediakan hidangan nasi lemak dengan rendang ayam pada peringkat suku akhir.

Namun Zaleha tersingkir kerana juri mendakwa ayam rendangnya tidak rangup, selain turut mendakwa 'kuah rendang tidak sesuai diletakkan berasingan'.