SIMPANG RENGGAM: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Guna Balakrishnan bertekad merancakkan ekonomi tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang mewakili PKR berkata, usaha itu penting memandangkan Layang-Layang yang merangkumi kawasan FELDA, ladang dan kampung masih bergantung kepada sektor pertanian, pekebun kecil serta peniaga kecil.
Menurutnya, kawasan itu memerlukan lebih banyak pembangunan ekonomi bagi membuka peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.
“Kalau saya menang, saya akan cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah tempatan dan isu ekonomi.
“Di sini tiada banyak industri atau kilang yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda. Saya akan mengemukakan cadangan bagaimana ekonomi di kawasan ini boleh diperkasakan,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Guna berkata, beliau akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi sepanjang tempoh berkempen menerusi kempen dari rumah ke rumah.
“Saya tak mahu fokus kepada apa-apa isu yang parti-parti lain cakap. Saya hanya fokus untuk memenangkan hati pengundi.
“Saya akan pergi dari rumah ke rumah di DUN Layang-Layang dan terangkan apa yang saya boleh buat. Kalau boleh dalam tempoh 14 hari ini, saya mahu jumpa semua pengundi secara individu,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Layang-Layang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Chua Jian Boon (BN-MCA), Guna Balakrishnan (PH-PKR) dan Abd Mutalip Abd Rahim (PN-Bersatu).
DUN Layang-Layang mempunyai 25,181 pengundi berdaftar.