Kajian di Australia mendapati alat mainan mempunyai pengaruh penting terhadap pilihan makanan dalam kalangan kanak-kanak, lapor agensi berita China Xinhua.

Hasil kajian diterbitkan Majlis Kanser Victoria (CCV), mendapati kanak-kanak berusia antara lima dan sembilan tahun, lebih cenderung memilih makanan sihat jika disertakan dengan mainan percuma seperti watak dalam filem popular.

Kajian dilakukan terhadap 1,000 kanak-kanak mendapati, apabila ditawarkan beberapa pilihan makanan sihat dan tidak sihat selepas menonton treler filem, didapati secara keseluruhan kanak-kanak cenderung memilih makanan tidak sihat.

Namun, jika makanan sihat disediakan berserta mainan, pilihan terhadap makanan sihat oleh kanak-kanak menunjukkan peningkatan.

Anggota Gabungan Dasar Obesiti Jane Martin berkata, amalan strategi pemasaran makanan tidak sihat terhadap kanak-kanak harus dikawal.

Sangat sukar untuk melindungi anak-anak daripada promosi seperti itu dan hampir mustahil.

Satu daripada empat kanak-kanak Australia dikategorikan mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan membuat pilihan makanan lebih sihat, kata Martin kepada media Australia pada Selasa.

Beliau berkata, mainan dan hadiah hanya dibenarkan diberikan bersama dengan pakej makanan sihat dan langkah itu boleh memupuk minat serta keinginan kanak-kanak menikmati makanan sihat.

Seorang penyelidik utama CCV Helen Dixon bersependapat dengan Martin, bahawa syarikat pengeluar makanan kanak-kanak perlu memenuhi kriteria pemakanan sihat sebelum membuat sebarang promosi dengan pemberian hadiah.

"Kita tahu dari analisis kandungan iklan di televisyen dan media lain, produk makanan tidak sihat seperti gula-gula, bijirin sarapan pagi, makanan ringan dan segera sangat berlebihan.

"Kita sedia maklum daripada segi pemasaran, syarikat tidak akan melabur jika ia tidak memberikan hasil," katanya.

-- BERNAMA