KUALA LUMPUR: Jenny, seorang wartawan yang enggan dikenali dengan nama sebenar atas faktor keselamatan, bukanlah pengguna tegar media sosial, namun, apabila sebuah laporan yang dihasilkan oleh pasukannya pada 2020, iaitu ketika kemuncak penularan COVID-19, dikecam hebat oleh warga maya, dia menyahaktifkan semua akaun media sosialnya demi kesihatan mentalnya.
"Gangguan yang kami terima agak hebat. Ramai warga maya yang mengecam kami menerusi media sosial.
"Ada juga ugutan bunuh. Mereka selidik siapa kami dan menampilkan alamat pejabat kami di Facebook serta mengancam untuk membakar pejabat dan datang membunuh kami," katanya.
Dia tidak berasa selamat langsung, kongsinya kepada Bernama.
Mujurlah ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 yang secara langsung melindunginya. Ironinya, sekatan pergerakan itu juga mungkin penyumbang kepada kecaman melampau tersebut.
Oleh kerana sepanjang tempoh itu dia tidak perlu hadir di pejabat, Jenny tidak pernah bersua dengan golongan terbabit yang juga tertakluk kepada PKP dan 'berkurung' di rumah. Akan tetapi, lain pula kisah kesihatan mentalnya yang mendorong wanita itu menyepikan diri daripada dunia media sosial.
Dia mengambil masa dua tahun untuk kembali ke wahana berkenaan. Walaupun masih berasa takut, Jenny berbuat demikian demi keperluan tugas.
"Saya ada akaun Twitter yang terbuka kepada umum bagi mengukuhkan keabsahan saya sebagai wartawan, khususnya ketika menghubungi sumber berita," ujarnya, menambah dia berusaha mengehadkan aktivitinya di media sosial seminimum mungkin.
Kisah Jenny ini adalah realiti sebenar kita sekarang. Tidak boleh tidak, kita perlukan media sosial sekalipun medium ini mewujudkan suasana tidak selamat bagi sesetengah penggunanya serta mampu menjejaskan kesihatan mental seseorang.
STATISTIK
Beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini mengaitkan penggunaan media sosial dengan perasaan cemas dan depresi atau kemurungan. Sekalipun Malaysia tidak mempunyai angka tepat berhubung masalah kesihatan mental dan kaitan isu itu dengan penggunaan media sosial - data terkini hasil kajian Kementerian Kesihatan ialah pada 2015 - pakar percaya jumlah penghidap masalah kesihatan mental meningkat seiring penggunaan media sosial.
Ketika kemuncak penularan pandemik, penggunaan media sosial mencanak disebabkan ahli masyarakat tidak dibenarkan keluar rumah sebagai langkah membendung jangkitan. Pada 2022, We Are Social and Hootsuite, sebuah firma pemasaran yang memantau trend digital, mendapati Malaysia adalah negara keenam di dunia yang merekodkan penggunaan Internet tertinggi, iaitu selama sembilan jam empat minit. Kemudahan itu paling banyak digunakan untuk bertukar-tukar pesanan, diikut rapat penggunaan media sosial.
Kepios yang menganalisis data media sosial dan penggunaan Internet, menyatakan hampir 27 juta orang atau 78.5 peratus penduduk di Malaysia menggunakan media sosial setakat Januari 2023. Menurut firma itu, angka berkenaan sedang meningkat.
Meskipun PKP sudah ditarik balik, masa yang dihabiskan untuk media sosial kekal tinggi, kata Meltwater, sebuah firma pemasaran digital. Pengguna di Malaysia meluangkan masa selama dua jam 47 minit sehari setakat Januari 2023, iaitu hanya kurang 15 minit berbanding 2022.
Menurut laporan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia yang dikeluarkan pada Oktober 2020, kes berkaitan penyakit mental dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat sekali ganda semasa PKP.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberitahu persidangan Parlimen bahawa baru-baru ini kementeriannya melakukan saringan terhadap 336,900 orang bagi mengesan kemurungan atau kebimbangan dalam kalangan mereka dan mendapati Kuala Lumpur merekodkan jumlah tertinggi individu yang mengalami tekanan psikologi.
Kata Dr Zaliha, kebanyakannya adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah B40 dan miskin bandar.
"Masalah kewangan dan perhubungan adalah antara penyebab masalah kesihatan mental," tambah beliau.
KESAN MEDIA SOSIAL
Media sosial memberikan kesan negatif ke atas kesihatan mental masyarakat dalam pelbagai cara. Jika dalam kes Jenny, wanita itu berasa cemas dan ketakutan selepas menerima ugutan bunuh, yang lain pula mengalami masalah kesihatan mental disebabkan oleh cara media sosial beroperasi.
Pakar yang dihubungi Bernama berkata media sosial berkecenderungan meningkatkan lagi rasa tidak puas hati atau kecewa ahli masyarakat terhadap kehidupan, kedudukan kewangan atau perhubungan mereka, dan ini menyumbang kepada perasaan yang diri mereka tidak berguna dan diselubungi kebimbangan. Dalam kata lain, media sosial menyebabkan penetapan minda ala "Keeping Up with the Joneses" bertambah teruk apabila ahli masyarakat berasakan mereka perlu bersaing sesama sendiri dan menayangkan kejayaan dalam kehidupan kepada semua.
"Apabila anda mempunyai tanggapan sebegini terhadap orang lain, tentang bagaimana mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik berbanding anda, ini mungkin mencetuskan rasa benci terhadap diri sendiri, rasa tidak bernilai, dan amnya rendah harga diri," kata Kow Kwan Yee, pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, University of Wollongong-KDU (UOW-KDU) di Shah Alam, Selangor.
Bersetuju dengan pandangan itu, pakar psikologi Prof Madya Dr Rozaina Kamsani daripada Universiti Utara Malaysia, berkata perasaan iri hati dan cemburu membuatkan ramai yang rentan dari segi mental, selain mudah menjadi sasaran penipuan. Sesetengahnya pula mungkin bertindak menyerang balas warga maya yang mengecam, bukannya bermuhasabah diri.
Beliau berkata cara algoritma media sosial dibangunkan, iaitu memberi ganjaran kepada apa sahaja yang menarik tumpuan, sama ada baik atau buruk, mendorong pengguna untuk kekal berasa marah. Keadaan ini tidak sihat bagi mental seseorang jika dibiarkan berpanjangan.
"(Interaksi) sangat provokatif, dan kesan itu selalunya lama. Selepas itu, perkara tersebut kekal dalam fikirannya, dan dia (akan) tengok balik, iaitu apa yang kita kata...macam terngiang-ngiang dalam kepala," katanya.
Ditambah dengan sifat anonymous atau tanpa nama Internet, sesetengah interaksi menjadi terlampau agresif, membuka ruang untuk gangguan berleluasa dan mewujudkan gelung maklum balas negatif. Gangguan yang berpanjangan menyebabkan keresahan dan kemurungan dalam kalangan mangsanya serta rasa rendah diri dan hilang keyakinan diri, kata Rozaina.
Secara paradoks, terlalu banyak menggunakan media sosial meningkatkan perasaan terputus hubungan dan keterasingan. Menurut pakar, kekurangan isyarat bukan lisan menyumbang kepada masalah kesihatan mental dan perasaan surealisme, iaitu tidak pasti sama ada pihak yang berinteraksi dalam talian itu benar-benar wujud atau sebaliknya.
Keadaan ini mengganggu fikiran seseorang dalam banyak cara.
Sementara itu, Kow berkata manusia merupakan makhluk sosial, dan apabila mereka tidak menerima komunikasi bukan lisan, keadaan tersebut akan mencetuskan perasaan sunyi dan masalah lain.
"Kita memang berkomunikasi dan berhubung sesama sendiri, namun komunikasi fizikal dengan rakan dan keluarga telah berkurangan," katanya.
"Apabila kita berkomunikasi sesama sendiri, ini bukan sahaja tentang komunikasi perkataan atau visual. Air muka, gerak-geri, malah pelukan atau sentuhan, semua itu diambil kira," jelasnya.
TIDAK JEJAS KANAK-KANAK
Media sosial tidak mungkin dimakan zaman kerana wahana terbabit dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda sekarang. Pelbagai kajian membabitkan remaja dan belia tentang bagaimana media sosial memberi kesan kepada mereka menghasilkan keputusan bercampur-campur dengan sebahagian menunjukkan impak negatif yang minimum, sementara yang lain pula mempamerkan kesan yang signifikan.
Golongan belia yang ditemui Bernama berkata mereka menganggap diri mereka mangli terhadap kesan buruk media sosial.
"Oleh kerana kami membesar dengan media sosial dan teknologi seumpama, maka kami amat peka dengan apa yang benar dan apa yang palsu," kata Keifer Chor Fu Zhung, 23.
Bagaimanapun, penuntut UOW-KDU itu mengaku berasa rendah diri apabila melihat perkongsian yang menunjukkan orang lain menjalani kehidupan lebih baik, bercuti di tempat-tempat eksotik dan makan di restoran mewah, selain mempercayai pempengaruh.
Pakar memberi amaran tentang penggunaan keterlaluan media sosial dan menyarankan agar pengguna "berehat" sekali-sekala daripada aktiviti itu dan bergaul dengan rakan serta keluarga, atau terlibat dalam kegiatan fizikal ataupun mencari hobi. Orang ramai kata mereka, perlu memperuntukkan masa untuk kesejahteraan mental dan menjauhkan diri daripada aspek negatif.
Jenny berkata dia takut akan "diserang" sekali lagi, justeru, dia menyediakan perancangan bagi menjamin keselamatan dalam talian serta melindungi kesihatan mentalnya sebelum mengaktifkan semula akaun media sosial.
"Inilah hakikat keadaan sekarang, kita tidak boleh berhenti daripada menggunakan media sosial kerana kita perlukan saluran itu untuk berkomunikasi," tambahnya.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Jun 04 2023
Beberapa kajian yang dijalankan sebelum ini mengaitkan penggunaan media sosial dengan perasaan cemas dan depresi atau kemurungan. - Gambar hiasan/Unsplash
Denmark buka semula kedutaan di Malaysia, perkukuh hubungan menjelang Kepengerusian ASEAN 2025
Kedutaan Denmark di Malaysia, yang ditutup pada 2021 semasa pandemik COVID-19, telah memulakan semula operasinya pada Ogos 2024.
Polis tahan 10 lelaki disyaki curi kabel TM
Kesemua suspek berusia 18 hingga 44 tahun itu ditahan bersama 54 batang potongan kabel yang berlabel Telekom, tiga kereta jenis Proton Wira dan beberapa peralatan pemotong kabel.
Pengarah FBI, Chris Wray akan letak jawatan pada akhir pentadbiran Biden, beri laluan pada pilihan Trump
Sebahagian pihak dalam FBI bimbang peletakan jawatan Wray itu akan membuatkan Trump menjadi terbiasa untuk sering menggantikan Pengarah FBI yang tidak disukainya.
Ahmad Samsuri letak jawatan Bendahari Agung PN
Tiada alasan dikemukakan Naib Presiden Pas itu berhubung keputusannya melepaskan jawatan berkenaan.
Arab Saudi sah tuan rumah Piala Dunia 2034 - FIFA
Sepanyol, Portugal dan Maghribi pula akan menjadi tuan rumah bersama untuk kejohanan bola sepak dunia itu pada 2030.
Kurang kesedaran punca ramai rakyat Malaysia menderita kerana COPD
Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik menimpa sebahagian besar populasi dunia dan merupakan punca kematian tertinggi di seluruh dunia dengan 3.23 juta kematian pada 2019.
Bangunan baharu MOM di Bukit Jalil diharap jadi motivasi tingkat prestasi atlet - Ahmad Zahid
Beliau berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, bagi pihak kerajaan.
Victor mohon maaf isu Jalur Gemilang terbalik di jersi Zii Jia
Victor Malaysia dalam kenyataan dimuat naik di akaun X, mengakui kesilapan dan kesal dengan insiden berkenaan.
Aaron-Wooi Yik Olimpian Tahunan 2024
Ia mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka menyumbang pingat gangsa selepas menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Berakhirnya pemerintahan Baath Syria buka jalan kepada keamanan - Erdogan
Erdogan mengulangi komitmen Turkiye untuk terus menyokong golongan tertindas di seluruh dunia.
Perikatan Komuniti Selamat seru tindakan segera tangani isu kesihatan mental di sekolah
Perikatan Komuniti Selamat gesa Kementerian Pendidikan ambil tindakan segera tangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Perikatan Komuniti Selamat seru tindakan segera tangani isu kesihatan mental di sekolah
Peningkatan kes kesihatan mental dan kejadian bunuh diri memperlihatkan keseriusan masalah dialami pelajar akibat beban akademik.
Putera MIC cadang kerajaan peruntuk lebih dana bagi perkhidmatan kesihatan mental
Ia perlu, antara lain bagi penyediaan lebih banyak pusat kesihatan mental berasaskan komuniti yang mudah diakses dengan kos berpatutan.
Masalah kesihatan mental pelajar, mahasiswa meningkat dua kali ganda - KKM
Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan peningkatan itu daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus (2023).
Kesihatan mental: Ibu bapa, guru, pelajar perlu peka, kesan tanda awal kecenderungan bunuh diri
Kes kematian remaja termasuk pelajar sekolah sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.
Umat Islam dinasihat elak pertelingkahan soal aliran,manhaj - Zulkifli
Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya mengelak daripada bertelingkah sesama sendiri dalam berhujah mengenai perbezaan aliran mahupun manhaj.
Stigma sosial halang individu dapatkan rawatan kesihatan mental
Golongan muda atau pelajar universiti sedar akan kewujudan perkhidmatan kaunseling tetapi enggan dapatkan rawatan.
Nahas pelajar UiTM: Pemandu wanita masih di Hospital Permai
Mahkamah Majistret diberitahu wanita yang didakwa atas tiga pertuduhan melanggar empat pelajar UiTM Dungun, Oktober lalu masih lagi berada di Hospital Permai.
Astro lancar inisiatif AI menerusi siri Project EXIT, sokong keterlibatan positif di media sosial
Astro, menerusi siri terbaharu Astro Originals, Project EXIT, memperkenalkan inisiatif terkini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
KBS sasar tambah bilangan pakar psikologi sukan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat untuk menambah bilangan pakar psikologi sukan dalam usaha membantu persediaan atlet menghadapi Sukan Olimpik dan Paralimpik 2028 di Los Angeles.