Sebilangan perokok dalam kalangan wanita berkerjaya mempercayai 'mitos' bahawa merokok boleh menguruskan badan, menurut Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Dr Mymoon Alias.

Pemerhatian juga mendapati golongan wanita yang bekerja lebih ramai merokok atas faktor gaya hidup untuk memiliki ketrampilan diri yang baik bagi menarik perhatian umum, katanya.

Dr Mymoon berkata meskipun kerajaan melakukan kempen antimerokok 'Tak Nak' dan mempromosikan kesan merokok terhadap wanita secara meluas namun mereka masih kurang sedar akan bahaya merokok.

"Merokok memberi kesan kepada kecantikan wanita, ketrampilan muka iaitu kulit jadi tidak cantik dan bibir jadi hitam. Tetapi mungkin mereka ini tidak tahu atau mungkin buat tidak kisah. Saya tidak nafikan dalam rokok ada nikotin yang boleh buat mereka ketagih, itu masalah," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2013 dan Persidangan Kawalan Tembakau ke-5.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan perokok wanita agar mengambil berat terhadap kesan negatif merokok kepada diri mereka dengan membentuk disiplin diri yang tinggi untuk meninggalkan tabiat itu demi kelangsungan kesihatan yang baik.

Dr Mymoon berkata golongan perokok pasif ketiga juga turut berisiko mendapat penyakit kanser, jantung dan angin ahmar seperti perokok aktif kerana asap rokok yang mempunyai racun akan melekat di persekitaran dan memberi kesan kepada mereka.

"Dalam rokok ada kira-kira tujuh ribu racun dan dalam asap pun ada racun yang boleh melekat di mana-mana. Misalnya dalam rumah kalau suami menghisap rokok, asap itu akan melekat di sofa dan apabila isteri ataupun anak-anak duduk dan terbau asap, mereka juga boleh terkena racun itu," katanya.

Sementara itu, Bendahari MCTC Muhammad Sha'ani Abdullah meminta kerajaan mempercepatkan proses membentangkan rang undang-undang kawalan tembakau di Parlimen.

Muhammad Sha'ani berkata akta sedia ada iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 dilihat masih tidak berkesan untuk mengawal hasil tembakau dan mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

"Sekiranya kerajaan tidak berbuat apa-apa kami akan gubal rang undang-undang kawalan tembakau sendiri dan seterusnya akan mencari mahupun akan mempelawa mana-mana anggota Parlimen yang sudi membantu kami bentangkan di Parlimen yang dipanggil kaedah 'private members bill' (rang undang-undang anggota persendirian)," katanya.