Makanan yang berbeza dan beraneka juga boleh didapati, bergantung kepada inisiatif masyarakat, komuniti masjid, tajaan syarikat persendirian mahupun orang perseorangan.
Perkongsian rezeki seumpamanya juga subur di Yogyakarta, Indonesia, apabila amalan pemberian takjil boleh ditemukan di mana-mana sahaja sepanjang bulan umat Islam berpuasa. Dari seringkas manisan sunah, sehinggalah ke hidangan yang lebih lengkap.
Takjil dalam terbitan bahasa Arab bermaksud ‘menyegerakan’ dalam soal berbuka puasa. Namun dalam bahasa Indonesia, takjil secara umumnya dalam konteks budaya merujuk kepada ‘juadah untuk berbuka puasa’, yang tidak jauh dengan makna istilah ‘iftar’ yang lebih biasa digunakan di Malaysia.
“Yang selalu ada (pemberian makanan percuma), adalah kurma dan minuman. Kalau makanan yang lebih berat, macam-macam ada, seperti nasi ayam atau soto.
“Kalau masjid di kampung, penduduk akan ditugaskan secara bergilir untuk menyiapkan takjil percuma untuk jemaah. Hampir di semua masjid akan menyediakan takjil percuma sepanjang Ramadan,” ujar warga tempatan, Ahmad Yusuf, mengenai budaya pengagihan takjil.
Beliau yang tinggal di daerah Gunungkidul turut memberitahu, waktu mengabuburit menjadi peluang untuk orang ramai keluar mencari juadah berbuka masing-masing, sama ada yang didapatkan secara percuma, ataupun yang mahu dibeli.
Apa itu ‘ngabuburit’?
Pada dasarnya, istilah yang berasal dari perkataan Sunda itu bermaksud tempoh waktu sementara menunggu azan Maghrib dan berbuka puasa pada bulan Ramadan. Penggunaan istilah dan pengisiannya kemudian menyebar ke seluruh Indonesia sebagai satu bentuk tradisi, dan dikaitkan dengan sebarang kegiatan yang dijalankan sementara menunggu waktu menikmati iftar.
Antara pengisian ngabuburit adalah aktiviti bersiar-siar pada waktu petang, menyediakan makanan dan minuman di rumah bersama ahli keluarga, mengunjungi pasar Ramadan untuk membeli takjil, atau mengaji al-Quran di masjid atau musala (surau) di kawasan kejiranan.
Selain itu, terdapat pelbagai penganjuran acara lain seperti beriadah di taman awam, mengikuti sesi tazkirah agama, menyertai seminar bersifat ilmiah, malah aktiviti muzik, kesenian dan kebudayaan yang tidak menyimpang dari ketetapan Islam.
‘Kampung Ramadan’ jadi tumpuan
Kalau di Yogyakarta, lokasi mana yang menjadi pusat kunjungan ramai sempena Ramadan? Selain Pasar Sore Ramadan Kauman, Lembah UGM dan Pasar Ramadan Pakualaman, terdapat satu tarikan bersifat ‘sentral’ jika bercakap tentang warna-warni bulan puasa di Yogyakarta.
“Kalau yang paling popular, pasti di Masjid Jogokariyan. Ada banyak jualan, tak kurang meriahnya dengan bazar Ramadan di Kampung Baru KL,” jawab seorang sahabat, Tovic Raharja kepada penulis.
Kebetulan beliau bersama isteri dan anak mereka baru-baru ini sempat berkunjung ke Kuala Lumpur selama beberapa hari untuk merasai suasana Ramadan di Malaysia.
Sama seperti yang dicadangkan Ahmad Yusuf, Tovic juga terus memetik nama Kampung Ramadan Jogokariyan sebagai pilihan utama.
“Tidak sekadar semasa Ramadan, Masjid Jogokariyan sememangnya banyak menganjurkan program keIslaman. Maka sepanjang Ramadan, lebih banyak program yang dianjurkan. Mereka (pihak jawatankuasa masjid) melayani umatnya dengan baik.
“Pelayanan (sebarang bentuk kegiatan) di masjid itu dibangun oleh masyarakat sendiri, berserta inisiatif warga sekitar masjid,” jelas Tovic.
Sejak lebih sedekad lalu, pengagihan takjil di pekarangan masjid, yang terhubung dengan laluan siar kaki Kampung Ramadan Jogokariyan, membuatkan jumlah pengunjung semakin bertambah.
“Alhamdulillah tahun ini pihak kami dapat mengagihkan sekitar 3,000 pinggan nasi lengkap dengan lauk istimewa. Itupun masih tidak mencukupi kerana keterujaan pengunjung sememangnya melebihi jangkaan kami,” ujar pihak pengurusan masjid menerusi akaun Instagram rasminya.
Difahamkan, sepinggan hidangan itu hanya bernilai 15,000 Rupiah (RM5) dan pihak masjid mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyumbangkan infak demi tujuan itu.
Kelazatan kulinari identiti Jawa
Antara makanan identiti tempatan yang mudah ditemukan di jalanan Yogyakarta adalah sejenis olahan tempe dan tauhu yang istimewa. Berbeza dengan penyediaan secara gorengan biasa, tempe bacem dan tauhu bacem dihasilkan dengan merebus sumber protein itu dengan campuran gula merah, bawang merah, bawang putih, buah keras, lada sulah, ketumbar dan daun salam.
Dengan warna yang lebih gelap, gabungan bahan-bahan berkenaan meninggalkan rasa manis, lemak dan sedikit masam. Sama ada dimakan begitu sahaja, atau menjadi 'lauk' untuk dinikmati dengan nasi putih panas.
"Saya lebih menyukai makanan jalanan, berbanding makan di jamuan hotel. Lebih enak jika dapat dimakan terus dengan tangan," ujar anak tempatan, Aga Prastomo, saat ditanya tentang pilihan iftar kesukaannya.
Aga yang juga pengacara majlis dan personaliti televisyen itu sempat meninjau jualan di pasar Ramadan pinggir jalan yang dekat dengan kediamannya iaitu di kawasan Stadium Maguwoharjo. Pelbagai juadah telah dirakamkan lensa kameranya di gerai-gerai peniaga di situ - dari menu tradisional hinggalah olahan moden, seperti rojak ulek, siomay, es dawet dan aneka jajanan pasar berupa kuih-muih pancawarna.
“Es dawet ini seperti cendol. Ada santan, ais parut dan juga gula perang cair,” jelas Aga yang sering memilih untuk berbuka dengan hidangan pecel dan kolak untuk Ramadan kali ini.
Pecel atau pecal merujuk kepada hidangan salad tradisional yang terdiri daripada sayur-sayuran seperti taugeh, pucuk ubi, tauhu goreng, kangkung, kacang panjang, timun, tempe dan sengkuang. Ia kemudian disira dengan kuah kacang dengan keunikan rasa daun cekur. Biasanya, ia disajikan dengan nasi kukus, namun adakalanya dengan potongan lontong atau ketupat.
Sementara itu, kolak (atau pengat) merupakan hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada gula aren atau gula kelapa yang dimasak bersama santan dan daun pandan. 'Bintang' utama bagi kolak adalah pisang, atau boleh juga diganti dengan labu, ubi keledek, biji salak mahupun nangka.
Apabila mendalami topik makanan, kelazatan kulinari khas Yogyakarta sebenarnya amat mudah ditemukan di setiap sudut jalanan, meskipun ketika di luar bulan Ramadan.
Bagi yang sudah pernah mengunjungi kota yang kaya apresiasi seni itu, pasti secara tidak langsung telah mendekati lapis budaya dan selera masyarakatnya.
Sekiranya sesiapa membuat carian maklumat di Google tentang hidangan seperti nasi gudeg, sate klatak, oseng mercun, tiwul, bakpia dan banyak lagi, jelas sekali makanan beridentiti khas Daerah Istimewa itu berkisar pada kelazatan yang bersifat tersendiri. Setiap satunya membawa cerita, rasa dan falsafah tersendiri.
Berikut adalah koleksi gambar jualan makanan untuk berbuka puasa yang sempat dirakamkan di Yogyakarta, Indonesia: