SAWAH padi di lereng bukit kelihatan kering, buminya merekah. Masyarakat Long Banga di Sungai Baram, pedalaman Sarawak bimbang peristiwa kebakaran besar beberapa tahun lepas berulang kembali di kampung mereka. Kebakaran yang disebabkan oleh musim kemarau yang panjang, memusnahkan hampir kesemua hasil tanaman penduduk kampung. Ia berlarutan sehingga berbulan lamanya.

Fenomena cuaca yang tidak menentu, berubah dengan mendadak dan ekstrim ternyata amat mengganggu rutin dan kelangsungan hidup masyarakat pengusaha padi. Tiba-tiba ribut, tiba-tiba hujan lebat. Cuaca turut terasa lebih panas.

Di Sarawak, Sabah dan Semenanjung, ramai pesawah kehilangan mata pencarian apabila tanaman padi musnah ditenggelami banjir kilat akibat hujan lebat yang luar biasa. Selain itu, musim kemarau yang panjang merosakkan sawah dan menjejaskan hasil padi.

Laporan Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) menjangka hasil tuaian padi bakal merosot tatkala suhu bumi meninggi sebanyak 1.5 hingga 2.0 ˚C. Lebih membimbangkan, kandungan nutrisi padi juga akan berkurangan. Kajian MARDI pula menunjukkan bahawa suhu malam yang tinggi menyebabkan lebih banyak kejadian padi sambang (padi berpenyakit).

Pengetahuan tradisional, warisan berharga bagi menghadapi cabaran perubahan iklim

Masyarakat etnik yang mendiami kawasan terpencil sangat bergantung kepada sumber alam. Jika hasil tuaian padi musnah, tiada pasar yang berdekatan untuk membeli beras. Justeru, mereka merupakan ‘barisan hadapan’ yang merasakan perubahan iklim dan akibat buruknya.

Menurut rekod Dr. Nadzirah Hosen dari Universiti Teknologi Malaysia, masyarakat di pedalaman Sarawak seperti etnik Sa’ban di Long Banga, Lun Bawang di Ba’kelalan dan Penan di Long Lamai begitu peka dan arif tentang alam semulajadi di sekeliling mereka. Pengetahuan tradisional berpandukan bentuk bulan (bliin teng), warna langit, pergerakan kumpulan binatang seperti babi hutan membantu mereka merancang waktu yang sesuai untuk menanam padi.

Pengetahuan tentang alam dan amalan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun membolehkan mereka beradaptasi terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu dan ekstrem. 

“Pesawah Sa’ban, Lun Bawang dan Penan amat menjaga tahap kesuburan tanah. Padi akan tumbuh dengan baik dan mengeluarkan hasil yang melimpah-ruah. Kemudian mereka menyimpan lebihan hasil tuaian di gudang padi untuk memastikan bekalan makanan yang berterusan walaupun bencana melanda,” jelas Dr. Nadzirah.

Selain itu, masih banyak komuniti di Sabah dan Sarawak yang teguh mengekalkan penanaman beras warisan (heirloom rice) dan beras tradisional. Terdapat lebih 600 varieti beras warisan dan beras tradisional dengan pelbagai keunikan rasa, tekstur dan kualiti di Sabah dan Sarawak.

Beras tersebut wangi baunya, serta mengandungi lebih banyak zat antioksida, vitamin dan serat berbanding beras putih. Rasanya juga lebih enak. Malah, syarikat gergasi makanan Nestle menggunakan beras merah bagi produk makanan bayi mereka.

Kebanyakan varieti padi beras tradisional turut mengandungi ciri-ciri yang membolehkan ia tahan kemarau, banjir, serangga dan jangkitan penyakit. Benih padi tahan lasak dan bermutu tinggi ini adalah khazanah berharga dalam pelaksanaan pertanian yang berdaya tahan (resilient farming).

Varieti beras tradisional yang terkenal di Sarawak. - Sumber: Jabatan Pertanian Sarawak

Tak lapuk di hujan, tak lekang di panas

Meskipun masyarakat pesawah kaya dengan ilmu pengetahuan dan amalan tradisional, mereka tidak kalis perubahan. Gaya hidup dan budaya tradisi yang dicorakkan oleh musim menanam dan menuai padi terjejas akibat tekanan pemodenan dan perubahan iklim.

Rata-rata pesawah padi berada di garis kemiskinan. Apabila hasil tuaian dan jualan padi tidak lagi berbaloi, warga muda mereka terpaksa berhijrah mencari rezeki di tengah kesibukan dan kesesakan kota.

Bagi memperkasa masyarakat pengusaha padi, inisiatif seperti program latihan dan bengkel giat dianjurkan. Jabatan Pertanian, WWF-Malaysia, Forever Sabah dan Langit merupakan antara organisasi yang aktif melaksanakan latihan bagi membantu meningkatkan penghasilan padi dan pengurusan tanaman.

Paling penting, mereka perlu diberikan bayaran sepadan dengan usaha gigih mereka membanting tulang. Usahawan sosial, Langit, mempelopori model yang lestari dengan menyalurkan sekurang-kurangnya 35% keuntungan jualan produk kepada pesawah padi Lun Bawang, Sarawak manakala 30% diperuntukkan kepada program latihan komuniti.

Pengusaha padi komuniti Dusun dari Rembituon menjalani latihan penanaman padi secara organik bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan penggunaan bahan kimia sintetik. - Sumber: Elizabeth Gimbad

“Rakyat Malaysia dapat membantu mereka secara langsung dengan membeli produk beras warisan,” kata Elizabeth Gimbad, ahli antropologi yang mengkaji kepentingan padi dalam pembentukan identiti masyarakat Dusun di Sabah.

“Sokongan kita semua dapat membantu masyarakat orang asal seperti etnik Dusun melestarikan warisan nenek-moyang dan mengekalkan identiti mereka sebagai pengusaha padi warisan yang kaya dengan pengalaman”.

Pelbagai jenis beras unik keluaran Sabah dan Sarawak boleh ditempah secara online (melalui Shopee, Langit) atau dibeli di pasar tamu dan pasaraya di ibukota dengan harga yang berpatutan.

Dengan ganjaran pendapatan yang setimpal, generasi muda dapat meneruskan usaha murni nenek-moyang mereka yang membekalkan beras sebagai makanan ruji. Amalan penanaman dan varieti padi tradisional yang mereka warisi adalah arkib berharga sebagai sumber rujukan dan bekalan benih padi bermutu bagi mendepani ancaman perubahan iklim.



* Laporan ini dihasilkan sebagai sebahagian daripada 'PANAS! Cerita Realiti Perubahan Iklim di Malaysia' yang dianjurkan oleh Science Media Centre (SMC) Malaysia, dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Britain Kuala Lumpur dan EcoKnights.

** Dr Nur Hazwani Bahar ialah seorang ahli biologi tumbuhan dengan pengalaman dalam penyelidikan fisiologi pokok dan tanaman. Beliau juga merupakan seorang perunding di Tropical Rainforest Conservation & Research Center selain menganggotai Young Scientists Network - Academy of Sciences Malaysia.