LDP, JIP bentuk pakatan, Takaichi bakal jadi perdana menteri wanita Jepun

Takaichi dipilih sebagai Ketua LDP selepas Ishiba mengumumkan peletakan jawatannya bulan lepas bagi memikul tanggungjawab atas kekalahan besar partinya dalam pilihan raya Dewan Kaunselor pada Julai. - Gambar fail/Reuters
TOKYO: Parti pemerintah Jepun Parti Liberal Demokratik (LDP) dan parti pembangkang utama Parti Inovasi Jepun (JIP) menandatangani perjanjian pakatan pada Isnin, dengan ketuanya Sanae Takaichi hampir pasti menjadi perdana menteri wanita pertama negara itu pada keesokan harinya, lapor Agensi Berita Kyodo.
Dalam perubahan bersejarah dalam landskap politik negara itu, LDP akan mengetuai kerajaan minoriti dengan bekerjasama dengan JIP, atau dikenali sebagai Nippon Ishin, menggantikan Parti Komeito yang menamatkan kerjasama 26 tahun mereka dengan LDP awal bulan ini.
Menjelang rundingan antara kedua-dua parti untuk menandatangani perjanjian pakatan pada Isnin, JIP dalam mesyuarat ahlinya memutuskan untuk mengundi menyokong Takaichi, yang menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba sebagai ketua parti pada 4 Okt, dalam undian parlimen Selasa ini bagi memilih perdana menteri baharu.
Ketua JIP Hirofumi Yoshimura memberitahu pemberita di Osaka pada pagi Isnin bahawa beliau telah menyampaikan hasrat partinya secara rasmi untuk membentuk pakatan dengan LDP semasa panggilan telefon dengan Takaichi, sambil berkata: "Mari kita maju bersama membawa Jepun ke hadapan."Walaupun gabungan LDP-JIP tidak mencapai majoriti dalam Dewan Perwakilan yang lebih berpengaruh, Takaichi, yang terkenal sebagai seorang konservatif tegas, dijangka memenangi pemilihan perdana menteri memandangkan parti-parti lain tidak mungkin bersatu di belakang calon bersama.
Fumitake Fujita, salah seorang pemimpin bersama JIP, memberitahu sidang akhbar bahawa parti itu, yang telah berusaha mengurangkan jumlah kerusi parlimen, telah bersetuju dengan LDP untuk mengurangkan 10 peratus kerusi dalam dewan rendah semasa sesi khas Diet dari Selasa hingga 17 Dis.
Kedua-dua parti juga bersetuju bahawa LDP akan berusaha melaksanakan cadangan JIP untuk memansuhkan sementara cukai penggunaan ke atas makanan serta memperkenalkan larangan terhadap sumbangan politik daripada syarikat dan pertubuhan sebagai syarat menyertai sesuatu pakatan.
JIP, yang berpusat di wilayah barat Osaka, dijangka akan bekerjasama dengan LDP tanpa menyertai Kabinet buat masa ini, menurut pegawai kanan kedua-dua parti.
JIP sebelum ini telah berunding dengan parti pembangkang terbesar Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) dan Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP) mengenai kemungkinan kerjasama bagi menyaingi LDP.
Bagaimanapun, selepas ia bersetuju pada Rabu lepas untuk memulakan rundingan dengan LDP yang telah memegang kuasa hampir tanpa gangguan sejak penubuhannya pada 1955, JIP menamatkan rundingan dengan CDPJ dan DPP.
Takaichi dipilih sebagai Ketua LDP selepas Ishiba mengumumkan peletakan jawatannya bulan lepas bagi memikul tanggungjawab atas kekalahan besar partinya dalam pilihan raya Dewan Kaunselor pada Julai, yang menyaksikan blok pemerintah bersama Komeito kehilangan majoriti dalam kedua-dua dewan parlimen.
Dalam dewan rendah yang mempunyai 465 kerusi - yang mana keputusan pemilihan perdana menteri mengatasi keputusan dewan tinggi - LDP memegang 196 kerusi dan JIP 35, manakala CDPJ memegang 148 kerusi, DPP 27 dan Komeito 24.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami