Pameran dan jualan hasil kreativiti usahawan wanita menarik minat pengunjung dan perwakilan Persidangan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pameran Wanita Kreatif di Laman Puteri diketengahkan bagi memartabatkan hasil kreativiti mereka.

Antara hasil kreativiti tiga wanita yang berjaya mencuri tumpuan adalah cetakan atas kayu, seni kaligrafi dan seni menjahit.


CETAK KAYU: Cetakan atas kayu

Jika sebelum ini kaedah percetakan atas kanvas berjaya menarik perhatian umum, kini cetakan atas kayu pula yang menjadi trend.

Syarikat Cetak Kayu menggunakan kaedah terbaharu dalam dunia percetakan iaitu WPAP, yang mana merupakan ilustrasi potret wajah yang bersilang dalam geometri dengan menggunakan warna-warna terang.

Menurut Pegawai Pemasaran Cetak Kayu, Anis Fitrah Ilahi Nazri, mereka cuba menarik perhatian umum dengan kaedah baharu WPAP yang menggabungkannya dengan kayu berkualiti tinggi seperti Balsa dan papan kayu OSB (Oriented Strand Board) agar cetakan lebih terang dan jelas.

“Sambutan lebih memberangsangkan dengan gabungan ini. Hasil seni kreatif seperti ini jarang ditemui di syarikat cetakan yang lain,” katanya ketika ditemui di Laman Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

DOCTORKHAT: Seni kaligrafi

Selepas melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Khat Reqaah, Nur ‘Izzati Razali dan tunangnya mengembangkan kemahiran dalam seni kaligrafi menerusi syarikatnya Doctorkhat.

Menurutnya, dia mahu menceburi bidang usahawan dengan mengetengahkan seni khat kaligrafi agar kesenian Islam itu terus disanjung tinggi.

“Saya bermula dengan lukisan cat di atas kanvas, kemudian idea untuk menggabungkan kedua-dua kaedah seni ini tercetus. Saya sahut cabaran untuk menjadikan aspirasi itu satu kenyataan.

“Pameran ini dapat membantu syarikat saya terus berkembang. Saya menyeru agar sesiapa yang meminati seni kaligrafi untuk meneruskan minat mereka menerusi cara yang benar,” katanya.


SEKOCI: Seni menjahit

Ramai yang beranggapan bahawa seni adalah melukis dan mewarna, namun bagi Norliza Samingon, menjahit adalah salah satu bentuk kesenian.

Menurut Pengusaha Sekoci, beliau mahu wujudkan kesedaran kepada orang ramai bahawa platform yang mengangkat jahitan sebagai satu bentuk kesenian itu benar.

“Saya telah berjaya menjana pendapatan melalui seni menjahit dengan mengeluarkan hasil kraftangan seperti beg tangan, beg duit syiling dan bekas alat solek.”

Anda boleh berkunjung ke gerai pameran seperti yang di atas untuk mendapatkan kraftangan hasil usahawan wanita di aras empat, PWTC sepanjang PAU2017 sehingga 9 Disember.