RAUB: Jika generasi muda lain gemar meniaga menerusi pelbagai platform dalam talian bagi mencari pendapatan, lain pula bagi sekumpulan anak muda di Kampung Bukit Pampong, Dong di sini yang mencari rezeki dengan menjual buah kabung atau buah kanto.

Meskipun proses mendapatkan buah yang turut dikenali sebagai buah nau dalam kalangan masyarakat utara itu rumit dan memerlukan kesabaran tinggi, Muhammad Harith Aiman Ismail, 24, bersama rakan-rakannya menganggap ia sebagai 'alah bisa, tegal biasa'.

Malah, pemuda berkulit sawo matang itu berpendapat sebagai golongan pelapis dia berasa bertanggungjawab untuk mengusahakan perniagaan berkenaan supaya tidak dikuasai warga asing kelak.

"Kalau saya dan budak-budak kampung di sini tak usahakan jual buah kabung, takut lama-kelamaan perniagaan ini akan dimonopoli orang asing sebab memang boleh buat duit," katanya kepada Bernama sambil tangannya tangkas mengupas buah kabung di sebuah bengkel di Kampung Bukit Pampong di sini, baru-baru ini.



Muhammad Harith Aiman berkata dia mula mempelajari mengenai proses buah itu sejak di bangku sekolah kerana membantu bapanya Ismail Ramli, 49, yang mengusahakan perniagaan buah kabung sejak puluhan tahun lepas.

"Saya pernah keluar dari kampung ini empat tahun lepas dan bekerja di ibu negara sebagai pengawal keselamatan tetapi saya rasa tidak berbaloi dari segi masa kerja dan pendapatan yang diterima, jadi saya pulang ke kampung semula untuk jalankan perniagaan bersama ayah," katanya.

Kini selain bapanya, anak sulung daripada empat beradik itu dibantu rakan-rakannya iaitu Muhammad Denial Hakim Rasul, 21, Mohamad Aqif Syahir Zamri, 19, dan Lailatul Syafiqul Hakimi Sabaruddin, 22, akan memulakan proses penyediaan buah berkenaan pada pukul 7 pagi hingga 7 malam sepanjang Ramadan.

Muhammad Harith Aiman berkata setiap hari mereka memproses sekitar 30 hingga 40 kilogram buah berkenaan yang kemudiannya akan dijual dengan harga RM6 hingga RM7 sebungkus di tepi jalan berhampiran kawasan masjid kampung itu dengan hasil jualan direkodkan ribuan ringgit dalam tempoh seminggu.

Permintaan buah kabung yang tinggi ketika musim Ramadan dapat dilihat sendiri penulis apabila mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin membeli makanan itu untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

"Buah ini rasa macam kita makan nata de coco dan ada juga orang beli untuk buat bubur selain dimakan bersama cendol atau ais batu campur," katanya sambil menambah buah berkenaan turut dipasarkan di daerah Rompin, Lipis dan Bentong.



Berkongsi cerita mengenai memproses buah berkenaan, anak jati Raub itu berkata antara cabaran yang dihadapinya ialah ketika memanjat pokok untuk memetik buah kerana badan akan berasa gatal.

Namun, pemuda yang sudah lali dengan situasi berkenaan berkata dia akan menyapu minyak panas terlebih dahulu di bahagian badan sebelum memanjat pokok.

"Buah berkenaan kemudiannya akan direlai daripada tangkai terlebih dahulu dan seterusnya direbus supaya kulitnya lembut untuk dikupas sebelum direndam semalaman dan selepas itu boleh dijual," kongsinya.

Malah, dia yang terinspirasi dengan kejayaan pemuda kampung itu yang berjaya dalam bidang pertanian selepas menjual durian turut menyimpan hasrat untuk mengkomersialkan jualan buah kabung itu di masa depan, sekali gus dapat mempopularkan kampung berkenaan.

Sementara itu, Ismail yang turut dikenali sebagai 'mail kabung' dalam kalangan penduduk setempat berkata dia telah menurunkan segala ilmu kepada anak sulungnya itu bagi mengusahakan buah berkenaan yang mudah didapati di kampung berkenaan sama ada di kawasan terbiar atau tanah persendirian.

Ismail berkata minat dan kesungguhan yang ditunjukkan anak sulungnya itu membuatkan dia memberi kepercayaan serta galakan untuk pelapisnya itu meneruskan legasinya.

"Saya belajar memproses buah kabung ini daripada orang tua-tua kat kampung ini lama dah, jadi sekarang saya kongsikan kepada anak dan rakan-rakan dia yang minat kerana buah ini memang ada permintaan dan tak ramai orang usahakan," katanya.

-- BERNAMA / Anis Nabilla Md Wazilah