INDIVIDU yang bertanggungjawab memulakan trend bukan Muslim membaca al-Quran (Non-Muslim reading The Quran) di TikTok, Megan Rice, secara rasminya memeluk Islam.

Menerusi satu video yang dimuat naik pendakwah kelahiran Syria, Ahmad Abostani, Rice dilaporkan mengucap dua kalimah syahadah dalam satu sesi live yang diadakan secara bersama.

Rice merupakan pempengaruh media sosial terawal yang mula membaca dan mempelajari kandungan al-Quran, selepas melihat bagaimana penduduk Palestin yang diuji dengan begitu berat, masih mampu bersabar dan tidak menyalahkan takdir.

"Saya kagum dengan rakyat Palestin kerana nampaknya mereka mempunyai kepercayaan yang begitu kukuh, walaupun kehilangan segala-galanya.

"Orang ramai memberitahu saya, ya, itulah Islam, adakah anda telah membaca al-Quran? Anda mungkin perlu membaca al-Quran," katanya.

Rice dilihat bersungguh-sungguh menyokong kebebasan Palestin dan menyatakan kekagumannya terhadap semangat masyarakat Islam di Gaza dalam menghadapi kekejaman rejim Zionis Israel.

Setiap hari, Rice akan berkongsi dengan lebih 600,000 pengikut tentang ayat al-Quran yang dibacanya melalui terjemahan, dan menyatakan kekaguman tentang bagaimana kitab suci itu mampu menjawab semua persoalannya.

Selain Rice, antara pempengaruh TikTok lain yang turut mula membaca kandungan al-Quran ialah @jakjackwilds dan @abbeyhafiz.

Kebanyakan mereka mengakui bahawa membaca al-Quran menyedarkan mereka tentang kedangkalan pengetahuan mereka tentang Islam dan betapa berbeza kandungan sebenarnya berbanding naratif barat.