GOLONGAN muda dan dewasa yang menggunakan vape atau rokok elektronik lebih mudah dijangkiti COVID-19 berbanding mereka yang tidak menggunakannya.

Menurut kajian dari Fakulti Perubatan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat, golongan ini adalah lima hingga tujuh kali ganda lebih mudah mendapat jangkitan virus itu kerana ia menjejaskan kesihatan paru-paru.

"Remaja dan orang dewasa perlu tahu bahawa jika anda menggunakan e-rokok, anda mungkin berisiko segera dijangkiti COVID-19 kerana anda merosakkan paru-paru anda," kata pengarang kanan kajian itu, Bonnie Halpern-Felsher.

Risikonya bukan sedikit, tetapi tinggi

“Remaja mungkin berasakan usia mereka yang muda mungkin adalah lebih kebal daripada dijangkiti COVID-19 atau sebarang gejala, namun data ini menunjukkan ia adalah tidak benar.

"Kajian ini secara jelas memaklumkan kita bahawa anak-anak muda yang menggunakan vape atau menggunakan (e-rokok dan rokok) dua kali ganda berisiko tinggi, dan itu bukan hanya peningkatan risiko yang kecil, itu besar," jelas penulis utama kajian itu, Dr Shivani Mathur Gaiha.

Kajian yang diterbitkan akan diterbitkan dalam Journal of Adolescent Health itu adalah yang pertama untuk mengkaji hubungan antara golongan muda dan virus COVID-19 dengan merujuk kepada populasi di AS.

Remaja yang pernah menggunakan rokok dan e-rokok dalam 30 hari sebelumnya hampir lima kali ganda lebih berpeluang mengalami gejala COVID-19, seperti batuk, demam, keletihan dan kesukaran bernafas berbanding mereka yang tidak pernah merokok atau menggunakan vape.

Ini mungkin menjelaskan mengapa mereka juga lebih cenderung menerima ujian COVID-19, terutama memandangkan pada bulan Mei, banyak wilayah mengehadkan ujian COVID-19 kepada orang yang mengalami gejala.

Selain memberi amaran kepada remaja dan dewasa tentang risiko menggunakan vape, para penyelidik berharap kajian mereka itu akan mendorong Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS untuk memperketatkan lagi peraturan terhadap penjualan vape kepada golongan muda.