PENTING bagi wanita masa kini, khususnya mereka yang sudah menjangkaui usia 40-an untuk memberi keutamaan kepada kesihatan payudara mereka dengan melakukan pemeriksaan mamogram. Perunding radiologi dari Hospital Prince Court, Dr Sumithra S. Ranganathan tampil memberi panduan dan bimbingan tentang kepentingan mamogram dalam pengesanan awal kanser payudara, serta salah tanggapan yang mengelilingi prosedur pemeriksaan penting ini.

Cara mamogram berfungsi dan kepentingannya

Mamografi, sering dirujuk sebagai ‘mammogram’, ialah teknik pengimejan perubatan yang menggunakan teknologi sinar-X untuk menangkap imej tisu payudara. Prosedur ini memainkan peranan penting dalam mengesan perubahan dalam tisu payudara, selalunya sebelum sebarang gejala fizikal menjadi jelas. Ia dianggap sebagai standard paling umum untuk saringan kanser payudara, kerana mampu mengenal pasti keabnormalan yang mungkin tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal atau ultrasound.

Dr Sumithra menjelaskan bahawa mamogram berfungsi dengan menggunakan sinaran, khususnya sinar-X, untuk menghasilkan imej terperinci tisu payudara. Imej ini dicipta dengan meletakkan payudara di antara dua plat khusus, yang memampatkannya dengan lembut. “Mampatan ini memastikan tisu payudara tersebar sama rata, meminimumkan gangguan dan menghasilkan imej yang jelas,” katanya.

Walaupun sesetengah individu mungkin bimbang tentang pendedahan sinaran, Dr Sumithra meyakinkan bahawa dos sinaran yang digunakan dalam mamogram adalah minimum dan selamat. Malah, aktiviti harian seperti menghabiskan masa di bawah sinar matahari atau menggunakan peranti elektronik mendedahkan kita kepada lebih banyak atau sinaran yang sama dengan mamogram.

“Saya mahu mengesahkan bahawa mamogram disahkan FDA dan menggunakan dos sinaran yang selamat. Dos sinaran daripada mamogram adalah setanding dengan dua minggu sinaran matahari biasa atau penerbangan 13 jam ke London,” ujarnya.

Kepentingan mamogram secara berkala

“Pengesanan awal adalah asas kejayaan rawatan kanser payudara. Di Malaysia, seperti di kebanyakan negara, saranan umum untuk wanita berusia 40 tahun ke atas yang tidak mempunyai sejarah keluarga kanser payudara atau sakit payudara adalah untuk menjalani mamogram setiap dua tahun.

“Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara atau faktor risiko lain, saringan yang lebih kerap mungkin diperlukan, termasuk mamogram tahunan atau saringan alternatif iaitu menggunakan ultrasound,” ujar beliau lagi yang akui pemeriksaan awal kanser payudara boleh menyelamatkan kita.

Dr Sumithra menjelaskan bahawa penjadualan mamogram sebaiknya dilakukan seminggu selepas haid wanita. “Pada masa ini, tisu payudara kurang lembut, dan pengekalan air berkurangan. Dari segi luaran, wanita dinasihatkan supaya tidak memakai deodoran, sapuan atau losyen pada hari peperiksaan. Ini kerana bahan tersebut boleh menghasilkan akesan yang boleh membawa kepada keputusan palsu atau tidak tepat,” nasihat Dr Sumithra.

Bagi pakaian pula, beliau syorkan pakaian dua helai, seperti skirt atau seluar dan blaus. Ini agar memudahkan hanya pakaian pada bahagian atas badan ditanggalkan sekaligus mengurangkan  rasa tidak selesa dalam kalangan pesakit.

Bercakap lanjut mengenai mamogram, Dr Sumithra meyakinkan bahawa walaupun prosedur itu boleh menjadi tidak selesa, ia secara amnya tidak menyakitkan. Jelas beliau lagi, pakar radiografi, yang selalunya wanita sendiri, peka terhadap kebimbangan pesakit dan mengambil langkah untuk memastikan keselesaan dan maruah semasa peperiksaan.

Tisu payudara padat vs berlemak

Dr Sumithra menjelaskan bahawa tisu payudara boleh dikategorikan sama ada padat atau berlemak. “Tisu payudara yang padat mengandungi lebih banyak tisu, manakala yang berlemak pula kurang sedikit.

Kebanyakan wanita mempunyai pengedaran tisu yang berbeza. Tisu payudara yang padat kadangkala boleh menjadikannya lebih mencabar untuk mengesan keabnormalan pada sesi mamogram. Untuk mengatasinya, pakar radiologi boleh mengesyorkan kaedah pemeriksaan tambahan, seperti ultrasound, untuk memastikan keputusan yang lebih tepat,” kata Dr Sumithra lagi.

Menurutnya, teknologi mamografi telah berkembang dan kini terdapat teknologi dua dan tiga dimensi (3D). Teknologi 3D ini teknik lanjutan yang memberikan unjuran yang lebih terperinci tentang tisu payudara, membantu dalam pengesanan awal.

Mamogram dan implan payudara

Selain itu, Dr Sumithra tidak menolak kebimbangan dalam kalangan wanita yang mempunyai implan payudara. Jelas beliau, bagi wanita yang mempunyai implan payudara, tiada perbezaan yang ketara dalam pengalaman mamogram. Mesin mamografi moden dilengkapi untuk mengendalikan implan, dan prosedurnya tetap selamat dan berkesan.

Bagi mesin mamografi yang menggunakan teknologi lama, ia memerlukan pemampatan manual, yang berpotensi menyebabkan kerosakan implan. Tetapi, kebanyakan mesin sekarang adalah berkomputer dan dapat memastikan pemampatan yang mencukupi tanpa risiko implan pecah.

Oleh itu, Dr Sumithra mengajak para wanita yang mempunyai sejarah keluarga, berusia lebih 40 tahun atau merasakan keadaan payudara tidak normal, agar menggunakan kelebihan bulan Oktober sempena kempen Pinktober di hospital untuk menjalankan saringan pemeriksaan payudara, mammogram. Katanya, pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa dan keselesaan yang berpanjangan.