Sebut sahaja Nasi Ayam Hainan, Rendang Tok, dan minuman terkenal Kopi Putih, pasti sesiapa yang pernah mencubanya akan berasa teruja untuk bercerita tentang makanan dan minuman enak yang terdapat di negeri Perak.

Selain terkenal dengan keindahan alam semulajadi serta flora dan fauna, juadah tradisionalnya berjaya mengundang sesiapa sahaja untuk berkunjung lagi ke negeri Perak secara kerap tanpa rasa jemu.

Itulah sebabnya Perak terkenal sebagai 'Syurga Makanan Tradisional' baik dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara, terutamanya pelancong dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

Baru-baru ini penulis berpeluang menyertai 'Perak Food Trail' anjuran Tourism Perak dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan menaiki koc acara khas Intercity dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Seramai 28 agensi pelancongan dari Singapura dan Batam, Indonesia serta empat wakil media dari Malaysia, termasuk penulis sendiri telah menyertai program tiga hari dua malam ini.

pelancongan
Selain menggamit perhatian pelancong dengan warisan sejarah dan seni bina lama, negeri Perak juga mempunyai tarikan istimewa iaitu dari sudut penyediaan variasi jenis makanan. - Gambar fail


Perjalanan dengan kereta api

Perjalanan tren selama empat jam dari Kuala Lumpur ke Ipoh tidak berasa jemu kerana penumpang disajikan dengan kehijauan pemandangan di luar jendela sepanjang perjalanan itu.

Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat penulis serta 31 peserta lain, yang rata-ratanya menaiki koc santai khas KTMB buat pertama kali dengan rasa amat teruja.

Apatah lagi, sepanjang perjalanan itu kami bebas bergerak ke mana-mana di atas koc keretapi itu selain dibawa melawat ke koc santai.

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran, Jualan dan Promosi KTM Intercity Mohd Noordin Kimi, koc santai yang terdiri daripada tiga gerabak itu dilengkapi kemudahan bilik seminar, perpustakaan mini, dan sistem karaoke yang memberi peluang kepada penumpang untuk berhibur.

"Selain itu, mana-mana organisasi yang ingin menganjurkan 'team building', seminar ataupun hari keluarga mereka boleh menggunakan kemudahan itu bagi merasai pengalaman berseminar di atas koc," katanya.

Nasi Ayam Hainan Ipoh

Kami tiba di Stesen Keretapi Ipoh pada kira-kira pukul 8 malam dan disambut oleh Pengarah Tourism Malaysia Perak, Ibrahim Seddiqi Talib.

Kemudian kami dibawa ke Restoran Nasi Ayam Hainan Ipoh Sdn Bhd, bagi merasai keenakkan nasi ayam Hainan yang merupakan juadah masyarakat Cina berasal dari wilayah Hainan, China.

Menurut pemilik restoran Shahril Hizri Mohamed, nasi ayam disediakan melalui kaedah tradisional masyarakat Cina Hainan iaitu dengan merebus ayam dalam pati tulang ayam.

"Pati ini kemudiannya digunakan untuk penyediaan nasi minyak dan berperisa ayam'

"Nasi Ayam Hainan sering dihidangkan berserta cicahan yang diperbuat daripada sos cili dan serbuk halia serta kebiasaanya disajikan dengan hirisan timun dan taugeh goreng," katanya.

Shahril berkata oleh kerana kebanyakan sajian ini tidak halal dan hanya terhad kepada golongan bukan Islam untuk mencubanya, maka beliau terdetik untuk 'menghalalkan' sajian ini bagi memberi peluang kepada golongan Muslim untuk mencubanya.

"Tidak sangka ia mendapat sambutan yang menggalakkan... ramai juga golongan bukan Muslim datang untuk mencubanya dan memuji masakan kami," katanya.

Terry Lai, 54, pemandu pelancong dari Singapura memuji kelazatan Nasi Ayam Hailam yang disediakan oleh pihak Shahril.

"Rasanya tidak ubah seperti yang tidak halal, biasanya akan kekurangan sesuatu sekiranya merasakan nasi ayam jenis tidak halal namun cara masakannya tidak ubah seperti yang 'real'," katanya.

Ipoh
Pelbagai makanan Cina halal boleh didapatiu di negeri Perak kerana banyak pengusaha pusat makanan sudah menyedari prospek penyediaan makanan halal. - Gambar hiasan


Masakan Cina halal

Keesokkan harinya, kami dibawa ke Restoran Caterbest, Bercham untuk makan tengah hari bagi merasai kelazatan masakan Cina asli yang halal.

Menurut pemilik restoran itu, Wong Swee Kok idea untuk menghalalkan masakan Cina adalah untuk memperkenalkan kepada orang Islam kelazatan masakan tradisional Cina.

"Ia juga sebagai memberi keyakinan kepada mereka bahawa masakan Cina juga boleh disediakan dalam bentuk halal dengan mengekalkan kelazatannya," katanya.

Wong berkata kebanyakan daripada chef dan pembantu restorannya adalah terdiri daripada golongan Islam dan tertera logo halal di hadapan premisnya.

"Ini juga bagi meyakinkan para pelanggan yang datang untuk mencuba makanan di sini kerana 100 peratus daripada hidangan yang kami sediakan adalah halal," katanya.

Menurut Ibrahim, apabila lebih ramai masyarakat Cina menghalalkan masakan mereka, secara tidak langsung ia dapat membantu merancakkan industri pelancongan di negeri Perak.

"Jika dilihat pada masa dahulu juadah Cina seperti 'Dim Sum' dan sup hanya boleh dinikmati oleh masyarakat bukan Islam kerana ia kebanyakannya disediakan secara tidak halal.

"Namun dengan usaha pengusaha industri pemakanan yang telah banyak 'menghalalkan' masakan-masakan tradisional Cina, negeri Perak telah menjadi salah satu lokasi yang wajib dikunjungi bagi mereka yang menggemarkan konsep 'jalan-jalan cari makan'," katanya.