PUBG berisiko mempengaruhi individu terlibat perlakuan radikal

Afiq Ariffin
April 12, 2019 20:00 MYT
PUBG merupakan permainan di atas talian yang popular ketika ini. - Foto PUBG Corporation
Permainan video atas talian, Player Unknown Battlegrounds Mobile (PUBG) dan media sosial boleh mempengaruhi individu terdedah dengan perlakuan radikal.
Bagaimanapun, menurut Dekan di Fakulti Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nurzali Ismail, ia hanya tanggapan mudah masyarakat dan bukanlah faktor utama kepada permulaan kegiatan keganasan.
“Media sosial dan permainan video ini bukanlah faktor utama kepada perlakuan ganas tetapi tidak dinafikan ia boleh mempengaruhi seseorang kepada radikalisasi.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa PUBG menyebabkan keganasan berlaku, kerana ia tidak dapat dibuktikan dalam mana-mana penyelidikan,” ujar Dr Nurzali.
BACA: 'Hitler pasti sukakan media sosial' - Pengerusi Disney
Jelasnya, kehadiran teknologi dan media sosial pada masa kini tidak dinafikan jadi platform penyebaran aktiviti keganasan.
Bagaimanapun beliau juga berpendapat, usaha untuk menapis semua kandungan ganas di media sosial adalah sangat sukar dan penyelesaian kepada isu itu perlu dirangka sebaik mungkin.
Kenyataan itu juga hampir menyerupai komen yang diberikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger.
Katanya media sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan alat pemasaran yang sangat berkesan bagi golongan ekstremis kerana ia mencerminkan sudut pandangan dunia dari pemikiran yang sempit.
"Ia lebih kepada menyebarkan ideologi yang jahat yang tidak mempunyai tempat dalam masyarakat awam yang menghargai kehidupan manusia," kata Iger.
BACA: Kotak menyerupai Kaabah? PUBG akhirnya mohon maaf
BACA: Keganasan tidak ada kaitan dengan permainan PUBG - Syed Saddiq
Dr. Nurzali ditemui ketika menjadi panel di Forum Perdana Serangan Pengganas di Christchurch: Redikalisasi, Profil, Social Media dan Perspektif Mengatasi Keganasan Ektremis (CVE) di ibu negara.
BACA: PUBG diharamkan di beberapa daerah di India
BACA: Nepal pula haramkan PUBG
Sebelum ini, India dan Nepal telah mengharamkan PUBG kerana permainan video itu mengandungi unsur keganasan.
PUBG merupakan permainan di atas talian yang popular ketika ini di mana 100 pemain perlu bertempur untuk terus hidup sehingga salah satu daripada mereka menjadi pemenang.
#Belia #Christchurch #keganasan #Malaysia #media sosial #pengganas #permainan video #serangan #Universiti Sains Malaysia