Persoalan mengenai dentuman kuat disusuli gegaran selama beberapa saat yang berlaku malam tadi akhirnya terjawab apabila Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA) mengesahkan bahawa objek berkenaan adalah batuan dari angkasa.

Timbalan Ketua Pengarah ANGKASA, Samsuddin Omar berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai objek bercahaya di ruang atmosfera dan disusuli dentuman yang kuat pada pukul 11 malam tadi.

"Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, ANGKASA berpendapat bahawa objek berkenaan adalah hasil daripada meteor iaitu batuan dari angkasa lepas yang memasuki atmosfera bumi disebabkan oleh tarikan graviti bumi.

"Berdasarkan maklumat orang ramai, bunyi dentuman yang didengar mungkin disebabkan oleh batuan panas tersebut meletup di ruang atmosfera iaitu beberapa saat selepas cahaya meteor tersebut hilang.

"Batuan meteor ini berasal daripada serpihan asteroid yang bersaiz lebih kecil iaitu kurang dari 0.05 meter persegi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.


Tambah Samsudin, memandangkan ia adalah fenomena biasa, rakyat di Sabah tidak perlu bimbang dengan kejadian yang berlaku malam tadi kerana 95 peratus meteor akan musnah terbakar di atmosfera bumi.

Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Azemi Daud ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi berkata, maklumat awal pihaknya mengesahkan tiada ribut petir atau gempa bumi berlaku di negeri ini malam tadi.

"Jadi letupan ini adalah kemungkinan terhasil semasa tahi bintang yang terbakar semasa memasuki ruang angkasa.

"Meteor atau tahi bintang, merupakan cahaya terang yang kelihatan melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba. Ia biasanya merupakan habuk dan debu yang terbakar apabila ia memasuki dalam atmosfera bumi kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan dibuat mengenai kejadian tersebut.

" Memang ada kedengaran bunyi kuat letupan tetapi tidak ada pengesanan di kawasan mana dan punca sebenar kejadian itu. Belum ada sebarang laporan polis dibuat setakat ini, "katanya.