BANDUNG: Perkembangan teknologi dan modenisasi dunia pada ketika ini sedikit sebanyak mempengaruhi cara kehidupan serta karakter masyarakat dan ia berisiko memberi kesan kepada identiti seni dan budaya sesebuah masyarakat.

Usaha berterusan perlu dilakukan bagi mendekatkan diri masyarakat bermula dari kanak-kanak dalam memastikan kelangsungan seni budaya berterusan seperti pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman”.

Menyedari kepentingan itu, kerajaan Selangor terus menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk memperkasa seni muzik tradisional masyarakat Jawa di negeri itu iaitu persembahan Cempuling dengan penglibatan pelajar-pelajar sekolah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah, usaha ini dibantu oleh komuniti setempat yang meneruskan legasi nenek moyang seperti dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lang Kuala Langat.

“Selangor mengangkat persembahan cempuling sebagai warisan negeri dan kita mahu pendedahan serta penerusan seni muzik ini dapat diteruskan.

“Cempuling yang merupakan persembahan lagu-lagu yang berunsurkan nasihat dan teladan ini diteruskan oleh masyarakat Jawa di Selangor. Walaupun serumpun bersama negara jiran, namun cara persembahannya membezakannya menjadikan ia mempunyai keunikan tersendiri,” jelas Borhan yang mengetuai delegasi program Silang Budaya Selangor dan Indonesia di Bandung.

Jelas Borhan, menerusi program ini, ia dapat memeprkenalkan dan mempromosikan keunikan seni muzik Cempuling di Selangor kepada negara luar serta beri pendedahan kepada pelajar-pelajar Malaysia mengenai seni budaya di Indonesia.

Melalui program ini juga, satu Memorandum Persefahaman ditandatangani (MoU) antara kerajaan Selangor dan Dinas Pendidikan Kota Bandung melalui Sekolah Dasar Indonesia dan Sekolah Rendah Malaysia melibatkan pelajar-pelajar sekolah kedua-dua negara.

“MoU ini juga penting untuk menonjolkan kemampuan dan kemahiran penggiat seni dan budaya Selangor serta sebagai platform pertukaran pelajar/ program keluarga angkat pada masa hadapan.

“Kerajaan negeri menyasarkan matlamat jangka panjang untuk bekerjasama dari segi ekonomi budaya serta dapat mengukuhkan ikatan kebudayaan antara Selangor dan Indonesia, khususnya di Bandung,” jelasnya.

MoU berkenaan ditandatangani oleh wakil lima sekolah Dinas Pendidikan Kota Bandung serta delegasi kerajaan negeri Selangor yang diketuai Borhan.

Borhan yang mewakili kerajaan Selangor bersama wakil Dinas Pendidikan Kota Bandung selepas menandatangani MOU melalui Sekolah Dasar Indonesia dan Sekolah Rendah Malaysia melibatkan pelajar-pelajar sekolah kedua-dua negara - Foto/AstroAWANI

Jelasnya lagi, MoU ini jugak boleh menambahkan ilmu kemahiran bidang ekonomi pendidikan atau edu-economy di dalam industri seni dan budaya.

Program berlangsung bermula Jumaat sehingga Selasa turut menfokuskan beberapa acara lain seperti lawatan ke pusat kebudayaan.