Sejadah yang lazimnya digunakan umum mempunyai seni dan corak yang hampir sama, di Malaysia mahupun di negara lain serata dunia.

Bertitik tolak dari situ, pengasas sejadah Qenza, Tasha Jalani, 32 melakukan perubahan ke atas kelaziman itu dengan menghasilkan sejadah bercorak kontemporari berilhamkan ayat-ayat suci Al-Quran.

"Ketika saya melawat ke Turki buat pertama kali baru saya faham mengapa sejadah sentiasa mempunyai corak yang sama, ini kerana coraknya tidak pernah diperbaharui sejak kejatuhan Empayar Uthmaniah,” katanya.

Kata Tasha, rujukan telah dilakukan kepada mereka yang bertauliah terlebih dahulu sebelum menghasilkan sejadah Qenza demi memastikan apa yang dilakukannya tidak salah di sisi Islam.


surah-surah dalam Al-Quran sebagai inspirasi menghasilkan corak sejadah Qenza.
Tasha bangga dengan hasil kerja beliau. - Foto Astro AWANI/ Azyyati Ahmad

Tasha yang lahir dari keluarga campuran Arab-Yaman dan Melayu ini menggunakan surah-surah dalam Al-Quran sebagai ilham menghasilkan corak sejadah,

“Motif-motif alam lukisan tangan ini diinspirasi dari surah- surah yang menjadi kegemaran saya seperti At-Tin berkenaan buah zaitun dan buah tin, An-Nam yang menceritakan mengenai buah delima serta surah Al-Kahf,” katanya.

Tasha juga memetik sepotong ayat dari surah Al-Kahf yang bermaksud ‘sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Rabbku, sungguh habislah lautan itu sebelum kalimat-kalimat Rabbku habis ditulis’ dalam inspirasinya menghasilkan corak terumbu karang dalam salah satu koleksi Qenza.


Sejadah Qenza
Corak sebelah kiri diinspirasi dari Surah Al-Kahf dan sebelah kanan diinspirasi dari Surah At-Tin. - Foto Astro AWANI/ Azyyati Ahmad

Material yang digunakan bagi pembuatan sejadah ini juga dari bahan terpilih untuk memberi keselesaan kepada penggunanya.

"Bahan utama yang digunakan adalah baldu dan dilapiskan dengan getah busa yang mana ia dapat memberikan keselesaan dalam pergerakan sujud dan antara dua sujud serta dicorakkan minimalis agar lebih kusyuk dalam solat," katanya kepada Astro AWANI, di sini.

Sejadah Qenza datang dengan tiga corak dan enam warna.

Ia boleh didapati di laman web rasmi www.Qenza.co atau kunjungi rangkaian fesyen terpilih seperti Twenty2 Bangsar dan Garde Robe Haus, Empire Damansara.