KUALA LUMPUR:Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir 26 September lalu, cerita peningkatan kes penularan pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan negara dilanda gelombang ketiga kerap diperkatakan banyak pihak sehingga hari ini.

Bagi segelintir, mereka berpendapat adalah perlu untuk menyalahkan pihak tertentu yang didakwa sebagai punca peningkatan bilangan kes positif COVID-19 di negeri berkenaan, namun tidak semua berkongsi padangan serupa.

Antara yang mengambil pendekatan berbeza adalah stesen-stesen radio naungan Astro iaitu ERA, Myfm dan Hitz fm di Sabah yang memilih untuk melihat dan mengambil tindakan berdasarkan segala yang berlaku dari sisi insani.

Ketiga-tiga stesen radio tersebut berganding bahu untuk bersama-sama dengan Sazarice dan Bataras Hypermarket yang mula mengaktifkan program amal 'KamiCare4Sabah' bermula hari ini sehingga 23 Oktober 2020.

Program tersebut bertujuan memberi bantuan kepada mereka yang terjejas teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri itu untuk mengawal penularan virus berkenaan.

Dengan keadaan Sabah yang saban hari mencatatkan kes positif tertinggi, tidak dapat dinafikan ramai rakyat Negeri Di Bawah Bayu itu pasti mengalami tekanan dengan perkembangan yang berlaku, justeru memerlukan sedikit sokongan.

Dalam satu kenyataan, jurucakap kelima-lima entiti berkenaan, berkata menerusi program itu barang-barang keperluan seperti beras, minyak masak, barangan tenusu dan lain-lain akan disalurkan kepada mereka yang layak menerima bantuan.

Mereka akan mengumpulkan hasil sumbangan orang ramai yang prihatin untuk bersama-sama membantu meringankan bebanan yang sedang dilalui oleh golongan yang tidak bernasib baik sepanjang musim PKPB ini.

“Dalam program ini, kami memberitahu pelanggan yang membeli-belah bahawa mereka boleh membuat pembelian tambahan barangan keperluan khas untuk disumbangkan ketika berada di kaunter pembayaran di tiga gerai Pasar Raya Bataras  terpilih iaitu Bataras Bandar Sierra, Bataras Bundusan dan Bataras Putatan," katanya.

Semua barangan tersebut kemudian akan dikumpulkan sebelum diagihkan kepada keluarga yang layak dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah dan Bilik Gerakan Bencana Negeri (BGBN) Sabah dalam memastikan pengagihan tersebut adil dan sempurna.