KUALA LUMPUR: Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA) meraikan ulang tahun ke-30 dengan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur sepanjang Disember ini.

Menerusi sebuah kenyataan media, program istimewa itu turut disertai oleh puluhan pereka fesyen terkenal antaranya 3duelabel, Shikah Grover, Ashley Wong, Victor Khoo dan ramai lagi.

Presiden MODA, Melinda Looi memaklumkan antara aktiviti disediakan adalah pelancaran buku Malaysian Fashion: A Journey in Colour yang dilancarkan di Pentas Utama, Balai Seni Negara.

“Penerbitan buku unik ini dapat memaparkan usaha tegar MODA yang selama ini menyokong peningkatan dalam memperkasaan industri fesyen negara ini.

“Buku ini turut memuatkan coretan dan sejarah perjalanan MODA sejak 30 tahun lalu serta himpunan profil dan karya seni eksklusif 38 orang pereka fesyen terkenal tempatan dan ahli-ahli MODA terkemuka,” katanya.

Kredit: Astro AWANI

Kredit: Astro AWANI

Penerbitan coffee table itu turut mendapat kerjasama Pensyarah Kanan Pengurusan Fesyen Senior Lecturer Kolej Pengajian Tinggi Raffles, Sabi Sohrahbi dengan Ahli Jawatankuasa Latihan dan Pendidikan MODA, Juita Jalil pada 5 Januari 2021.

Dalam pada itu, sebuah pameran fesyen akan diadakan sepanjang Disember yang menghimpunkan lebih daripada 35 pereka fesyen terkenal di Pentas Utama, Balai Seni Negara.

Selain itu, pertandingan mewarna “MODA-MIYO” bagi kategori kanak-kanak antara usia 4 hingga 12 tahun pada 3 dan 4 Disember untuk memberi peluang kepada si cilik mengasah bakat kreatif yang menawarkan hadiah wang tunai.

Sementara itu, perkongsian ilmu reka seni di bengkel “Trunk Show” serta forum seni yang dikendalikan ahli MODA akan turut diadakan untuk pengunjung.