Bermula dari seorang penganalisis penyelidikan di Singapura bersama pasukannya dari pelbagai negara, minat penulis novel 'Sebelum Matahari Tidur', Rosnazuha Mokhtar untuk mengembara melihat dunia tidak pernah luntur.

Dalam kesibukan bekerja dan menguruskan keluarga, beliau mendapat ilham untuk menulis dari setiap negara yang dilawatinya atas urusan kerja berdasarkan catatan yang direkodkan dalam nota hariannya.

Selain urusan kerja, hobinya untuk melancong di beberapa negara setiap tahun dipilih berdasarkan keunikan setiap destinasi.

"Pelbagai destinasi unik dan popular pengunjung menjadi pilihan. Saya akhirnya mendapat cara terbaik untuk menyimpan kenangan dan pengalaman ketika mengembara.

"Semuanya diolah ke dalam bentuk novel supaya keindahan alam di dunia dapat dikongsi tanpa terlalu mendatar," katanya.

Sebelum Matahari Tidur mengisahkan seorang penyiasat persendirian, Daniel Shafi yang bercita-cita menjadi jurugambar NatGeo. - Gambar Roserq

Menggunakan nama pena Roserq, penulis yang berasal dari Machang, Kelantan ini turut mendapat tawaran ke Universiti of Sheffield di England dalam jurusan kewartawanan kerana minatnya di dalam bidang penulisan.

Bagaimanapun, pengajiannya terbengkalai kerana masalah kewangan.

'Sebelum Matahari Tidur' mengisahkan seorang penyiasat persendirian, Daniel Shafi, yang bercita-cita menjadi jurugambar NatGeo.

Namun, nasib membawanya kepada menjadi seseorang dengan kehidupan yang lebih bermakna dari jurugambar.

Jalan cerita novel ini penuh teka-teki, dengan kehidupan yang diganggu susulan kehadiran beberapa orang penting, secara langsung dan tidak langsung, dalam pengembaraannya.

Tetapi, beberapa kejadian yang menginsafkan membuka matanya tentang kewujudannya di dunia ini.

Novel ini turut mendedahkan, masih banyak insan yang baik di dunia ini sekali gus membuktikan juga sekiranya kita mengubah perspektif cara memandang dunia, ia akan memberi impak luar biasa kepada keseluruhan kehidupan seharian.

Di dalam novel itu juga, Shafi digambarkan sebagai seorang individu yang berpegang kepada prinsip 'Tidak ada satu pun kebetulan itu tanpa campur tangan Tuhan.'

Roserq di akhir perbualan memberitahu, hasil tulisannya merupakan kisah pengembaraan ibadah alam dan libatan cinta Shafi di beberapa negara termasuk Perancis dan berakhir di Kota England.