KUALA LUMPUR: Meskipun penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik atau COPD merupakan penyebab ketiga bagi kematian utama di seluruh dunia, namun masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tidak tahu penyakit ini boleh dicegah dan dirawat lebih awal.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Fakulti Sains Kesihatan Dr Fatim Tahirah Mirza, individu yang menghidap COPD dan kerap melakukan senaman berpotensi untuk mengubah kesan negatif penyakit ini terhadap diri mereka.

"Bukti saintifik menunjukkan bahawa latihan senaman aerobik dan bebanan (kekuatan) secara minimum iaitu dua kali seminggu dapat mengurangkan sesak nafas, keletihan, perasaan cemas dan kemurungan, selain dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit COPD. Prevalens global penyakit COPD pada tahap sederhana dan teruk ialah 10.1 peratus. Justeru di Malaysia dengan populasi 33.4 juta orang, dianggarkan kira-kira 3.4 juta orang dewasa menghidap COPD," katanya.

Beliau bercakap kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini sempena sambutan Hari COPD Sedunia pada 17 Nov setiap tahun dengan tema kali ini "Healthy Lungs - Never More important" (Paru-paru Sihat -- Amat Penting). Tema ini menekankan bahawa beban COPD tidak berkurangan walaupun semasa pendemik COVID-19.

Tidak seperti kebanyakan penyakit kronik yang lain, prevalens dan beban penyakit COPD diramalkan meningkat disebabkan pendedahan berterusan kepada faktor risiko penyakit itu seperti merokok, pencemaran udara dan penuaan penduduk dunia, tambah beliau.

COPD adalah satu penyakit kronik sistem pernafasan, yang menyebabkan terjadi penyempitan dan radang (inflamasi) pada saluran pernafasan.

Menurut Fatim Tahirah, perkembangan klinikal penyakit COPD termasuk tempoh kestabilan klinikal yang diselangi tempoh akut yang semakin parah, dikenali sebagai Acute Exacerbation of COPD atau AECOPD, bakal menyaksikan penghidap COPD mengalami gejala yang lebih teruk berlanjutan selama 24 jam, dan memerlukan perubahan pada ubat yang biasa dimakan mereka.

"AECOPD yang teruk memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital dan ini boleh menjejaskan kapasiti senaman, mengurangkan kekuatan otot dan tahap aktiviti fizikal, dengan kesemua tiga faktor risiko ini dikaitkan dengan kemasukan semula ke hospital pada masa hadapan," katanya.

Fatim Tahirah dan pasukannya menjalankan penyelidikan mengenai keselamatan dan kebolehlaksanaan latihan senaman yang dilakukan dalam tempoh 48 jam selepas kemasukan pesakit ke hospital, yang dikenali sebagai Randomised Controlled Trial (RCT) di Hospital Selayang dan Institut Perubatan Respiratori, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata kajian senaman itu melibatkan program berjalan kaki dan tiga latihan rintangan fungsi ke atas sekumpulan pesakit yang dilakukan dua kali sehari selama lapan sesi keseluruhannya sepanjang kemasukan pesakit ke hospital sehingga didiscaj.

"Latihan senaman itu didapati selamat dan boleh dilaksanakan untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital serta mampu meningkatkan kapasiti senaman dan kekuatan otot, malahan pesakit didapati kekal aktif berbanding kumpulan lain yang tidak menyertai program senaman," jelasnya.

Sementara itu, Fisioterapi Kanan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Pengerusi Special Interest Group (SIG), Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) Dr Katijjahbe Mohd Ali berkata ahli fisioterapi mempunyai peranan penting dalam merawat pesakit yang menghidap COPD akut.

Katanya, perkara ini telah dibuktikan secara saintifik yang menunjukkan bahawa perawatan fisioterapi boleh membantu, memulih dan mencegah berulangnya eksaserbasi (pertambahan keterukan sesuatu gelaja).

"Teknik seperti fisioterapi dada, senaman pernafasan, senaman anggota badan, boleh meningkatkan status kefungsian pesakit dengan ketara yang ditakrifkan sebagai keupayaan individu untuk melakukan aktiviti harian biasa yang diperlukan bagi memenuhi keperluan asas, fungsi biasa, serta mengekalkan kesihatan dan dan kesejahteraan," tambahnya.

Dr Katijjahbe, yang juga Pengerusi Kumpulan Kardiovaskular dan Pulmonari (CVPG), MPA berkata sempena sambutan Hari COPD pada Rabu ini, satu webinar dengan topik: Acute Exacerbation of COPD and Physiotherapy management: Evidence based practice (Eksaserbasi Akut COPD dan pengurusan Fisioterapi: Amalan Berasaskan Bukti) akan dianjurkan dari pukul 2 petang hingga 4.30 dengan kemasukan adalah percuma kepada ahli MPA.

"Webinar itu adalah bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai peranan ahli fisioterapi dalam menguruskan pesakit eksaserbasi COPD," katanya sambil menambah SIG, Kumpulan Kardiovaskular dan Pulmonari (CVPG), akan turut dilancarkan pada hari tersebut.

Kumpulan CVPG yang telah ditubuhkan pada 1 Okt 2021 lepas, dianggotai 10 ahli eksekutif yang pakar dan/atau mempunyai minat dalam fisioterapi kardiovaskular dan pulmonari serta mempunyai kepakaran dalam pemulihan akut dan perkhidmatan komuniti.

-- BERNAMA