TULISAN ini mahu dimulai dengan pertanyaan yang sangat mudah untuk dijawab, "sudah minum kopi hari ini?"
Kenapa dan mengapa, bacalah sehingga habis tulisan ini, jika bertemankan kopi sambil membaca adalah lebih tulus.
Berbanding minuman dan makanan lain, kopi paling banyak dipetik sebagai subjek untuk kata-kata hikmah dan dikaitkan dengan falsafah kehidupan yang penuh rasa pahit, manis, berkrim atau tawar.
Saya jujur sahaja. Saya penggemar kopi sejak sekian lama. Semakin menginjak dewasa dan berusia, melalui pembacaan dan pemerhatian di sana sini, kopi ini semakin dekat dengan jiwa.
Begitu juga, menjadi amalan semasa kembara, kopi dicari untuk terapi - melalui penggeledahan buku dan curi ruang waktu bersantai di kedai kopi, hanya mahu melihat gelagat barista mengadun biji dan menyeduh kopi sehingga terbit bau wangi saat sebelum dihidang di dalam cawan tersedia.
Minum kopi juga kepada saya, menghantar ingatan kepada sejarah pembikinan kopi itu sendiri dengan pesanan segera ditangkap, minum kopi dahulu hari ini, esok hal yang lain, fikir kemudian.
Di sebalik begitu banyak falsafah yang melingkari dunia kopi, sejarahnya sangat istimewa, pernah memberi sumber ekonomi kepada sang petani, sempat dibelenggu isu perhambaan dan membesar menjadi budaya setempat sebagaimana dilihat hari ini.
Inilah perjalanan rasa kopi itu sendiri, menjadikannya satu, tiada dua.
Namun, mari kita lihat istimewanya kopi yang pertama.
Ayuh kita memandang ke belakang sejarah kopi kerana hanya menyingkap ke era sebelum ini, kita menghargainya apa yang ada hari ini - kopi kita.
Sejarahnya, kopi dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh Belanda pada sekitar hujung kurun ke-17 dan sempat menjadi antara sumber utama ekonomi penjajah ketika itu.
Semasa mempelajari subjek sejarah Asia Tenggara untuk pengajian Sarjana saya, sempat dikutip ilmu diajar bahawa British yang menggantikan Belanda ketika itu bagaimanapun menukar kebun kopi menjadi estet getah pada akhir kurun ke-19, susulan permintaan tinggi terhadap komoditi itu untuk industri pembuatan di Eropah.
"Dalam senggang masa ratusan tahun, kopi tumbuh subur menjadi sebahagian budaya masyarakat. Kopi popular khususnya kalangan kelas pekerja di ladang getah dan di lombong bijih timah, mereka yang menumpahkan keringat untuk hasil yang dikaut pula oleh British.
Kedai kopi atau kopitiam mula muncul terutamanya di bandar-bandar di barat Malaya yang dibangunkan oleh British kerana getah dan bijih timah, Sehingga sekarang, kedai kopi ini masih ada diwariskan kepada anak cucu. Ada yang kekal dalam bentuknya yang tradisional, dan ada juga yang berkembang jadi kedai kopi dengan sentuhan serta penampilan moden.
Lihat sahaja di Perak atau Pulau Pinang. Ada yang tradisional, ada yang moden," begitu syarahan Profesor Madya Sivachandralingam Sundara Raja, Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, pada satu hari di tahun 2014, yang sempat saya ingat dan tulisnya di sini.
Nah, unikkan kopi itu?
Kalau Dr Sivachadralingam mengaitkan kopi dengan perkembangan ekonomi negara sebelum ini, Aliff Basri, seorang pengemar kopi dan peminat buku, dalam satu program Bicarawara mengenai kopi yang saya sertai secara maya baru-baru ini, pula ada menyebut tentang dunia kopi itu sendiri yang mempunyai sejuta macam cerita serta kisah.
Katanya, saya petik begini: "Kopi akrab dengan pelbagai peradaban besar seperti Barat dan Islam. Kopi berperanan menaikkan taraf para petani, namun di sisi lain turut mempunyai sejarah hitam kerana perhambaan dalam proses penghasilan biji kopi. Malah, kopi menjadi produk pengembangan budaya setempat.
Kopi juga menjadi subjek guru fotografi seperti Sabatiao Salgado untuk menzahirkan nilai-nilai estetika supaya kita, yang menjadi penikmat kopi, dapat menghargai para petani kopi di seluruh dunia. Kopi mempunyai sejuta cerita, tapi yang paling utama, sumbangannya adalah kepada pembentukan budaya setempat."
Jadi, tidakkah istimewa kopi itu?
Kalau syarahan Dr Sivachadralingam diambil kira dan petikan kata Aliff Basri jadi pertimbangan, saya mahu membawa bacaan mengenai kopi ini kepada cara budaya yang diterbitkan kopi itu pula.
Tentunya, golongan petani dahulu, habis kerja dikerah keringat di lombong bijih timah, mereka akan duduk berehat menikmati kopi.
Dan, pada hari sambutan Hari Kopi Antarabangsa yang dirai hari ini, pada 1 Oktober setiap tahun, wajar mengingatkan kita semua tentang keringat petani, dan cara mereka duduk berehat menikmati rasa kopi.
Maka, apabila saya katakan awal tadi, saya penggemar kopi dan tidak kisah kembara mencari buku, memerhati budaya kopi, ia menggerakkan saya kepada satu lapis lain.
Kekaguman kepada kopi membawa saya ke Vietnam.
Ya, selain kerana tugas, saya ke Vietnam mencari kopi. Semasa berada di Ho Chi Minh, saya cepat dapat mengesan perubahan sangat ketara dialami Vietnam.
Negara bekas komunis yang indah ini, kepada pelabur, sangat berpotensi untuk mereka. Ekonominya berkembang pesat lagi maju.
Perubahan ketara sekali antara yang sempat dikesan, 'tumbuh' kedai kopi - sama ada secara jalanan atau moden hipster sebagaimana menjangkiti negara kita juga akhir-akhir ini.
"Kopi Vietnam berbeza. Tidak ada dua kopi yang rasanya sama, sekalipun di Vietnam. Kita mungkin tidak ingat, tetapi pengusaha kopi senada tidak pernah lupa, dari pokok dan kebun sama juga rasanya boleh terbit berbeza," kata My Thao, yang saya jumpa semasa menyertai jelajah kopi di Hanoi.
Di Vietnam, bukan My Thao sahaja yang mengendalikan jelajah kopi ini, malah terdapat ramai lagi, yang menawarkan pengalaman di banyak kedai kopi istimewa, berbeza dan bercita rasa tempatan lagi tradisi.
Dan, apa yang menjadi kesimpulan, penggemar kopi tidak kisah, melalui perubahan di Vietnam yang serba pantas dan deras, seperti aliran kereta di jalanannya; bagai aktiviti niaga di pasar bertukar tangan wang serta barang, lincah dan cergas.
Berduyun-duyun, peminat kopi lebih gemar ke kafe yang serba serbi santai, bangku duduk bersandar, menapak dua tingkat terlebih dahulu untuk sampai, selebihnya mendaki anak tangga curam sempit - semuanya untuk merasai kopi istimewa, barangkali tiada di tempat lain - iaitu kopi telur. Kopinya pekat dan kental, dibancuh istimewa dengan susu pekat manis dan dituang kuning telur yang diaduk sampai berbuih.
"Apa rasanya?" saya pernah tanya peminat kopi dari Malaysia, datang ke Hanoi untuk merasai kopi.
"Mirip perasaan bebas dan merdeka," jawabnya singkat sebelum menyambung, kedainya selekeh, tetapi rasanya juara.
Selebihnya, kata penggemar kopi mahu disapa Azam itu akui berada di dalam kedai kopi itu menyebabkannya seperti disihir, semua terhenti, tiada lagi kesepian, tiada lagi kenangan luka dan susah zaman koloni.
"Yang ada cuma rasa cinta, kepada kopi itu sendiri," catat Azam kemudiannya di laman Facebook (FB) peribadi.
Lihat, bezakan kopi itu dengan minuman lain?
Selain membaca buku, saya juga gemar tonton filem. Dan, filem tentang kopi saya bedah isinya. Antara yang menarik perhatian, Filosofi Kopi tulisan Dee Lestari - asalnya buku tetapi diangkat ke pentas filem. Sebuah lagi filem tentang kopi, Coffee Mate, filem Korea arahan Yi Hyun-ha dan Ryu Hee-Jung diterbitkan dan masuk panggung pada 2016 turut saya tonton.
Coffee Mate, sebuah naskhah biasa, ia mengisahkan soal mencipta rakan baharu di kedai kopi, menghargai kehidupan di setiap hirupan kopi.
Menonton Coffee Mate, saya jadi teringat kepada perkembangan mutakhir ini di Malaysia - walaupun saya percaya ia berlaku lebih awal di negara lain, iaitu tentang kewujudan kumpulan sembang mengenai segala macam tentang kopi.
Saya sendiri sertai kumpulan di FB yang ahlinya cecah ratusan ribu, iaitu Peminat Kopi. Di medan itu, semuanya dibincang, dari hal seberat usaha membantu industri kopi sehingga seringan-ringan mana kopi yang enak, mana yang potensi ditolak.
Kemesraan yang diterbit daripada persamaan meminati kopi dalam kumpulan itu sangat asyik, sebagaimana rasa menikmati minuman itu sendiri.
Sudahnya, saya jadi teringat kepada kata-kata mutiara tentang kopi disebut seorang peminat kopi tidak diketahui namanya iaitu : "Barangkali Tuhan menciptakan kopi kerana mahukan diriku berteman."
Hello, hebatkan kopi itu?
Manakala buku dan filem Filosofi Kopi pula mengangkat bahawa menikmati kopi itu ada caranya. Sama ada diteguk atau dihirup, kopi rasa tradisi mahupun seduhan moden, duduk di kerusi mewah dan bangku sandar selesa, kopi itu selamanya tidak salah. Yang salah ialah cara menikmati kopi itu. Dengan kata lain, falsafahnya, mencari kesempurnaan selepas rasanya dinikmati.
Buku antologi cerpen, Kopi diselenggara Amir Muhammad pula mencampurkan segalanya yang istimewa tentang kopi, melalui falsafah hidup pelbagai golongan latar belakang.
Di akhir pembacaan, kesimpulannya, ya, kopi itu pahit, seperti juga kehidupan ini. Tetapi, seperti juga kehidupan ini, ianya ada manisnya. Cara memaniskannya? Kepada kopi, tentunya tambah gula; untuk kehidupan itulah juga ramuannya.
Apabila radar kehidupan pahit manis itu, jika dikaitkan dengan sekarang- ketika COVID-19 hampir menggantung dan menghentikan semuanya, duduk di rumah, tiada ziarah, tiada solat di masjid serta surau, kini dengan sabar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP), ia perlahan-lahan ditarik dan kembali semula kepada asal sosial.
Seperkara lagi, saya juga mahu sihat, dan kopi menjadi salah satu minuman terbaik memberi banyak manfaat untuk badan.
Dalam ensiklopedia mengenai kopi, minuman itu diangkat sumber utama untuk kafein, namun berbeza jumlahnya dalam kopi yang kita minum.
Sempena Hari Kopi Antaranbangsa, data yang dikeluarkan mendedahkan, secara purata, rakyat Malaysia meminum 2.5 cawan kopi setiap hari, dengan kadar kafeinnya, tentulah berbeza iaitu antara 25-180mg kandungan.
Pelbagai perisa dan rasa menyumbang kepada kadar kafein yang berbeza.
Dalam kopi ada falsafah, ada budaya ada juga sihat. Dengan begitu banyak keterlibatan kopi dalam orbit kita, maka, nikmat apa lagi yang mahu didustakan?
Istimewa bukan, kopi itu?
Jika tulisan ini dimulai dengan pertanyaan mudah dijawab, "sudah minum kopi hari ini?" , tulisan ini juga mahu ditutup dengan soalan sama mudah dijawab, bagaimana rasanya tidak minum kopi hari ini?
Tidak kira bagaimana biji kopi dipetik, juga kopi itu dibikin; lupakan cara ianya dinikmati, hirup atau teguk - kopi adalah untuk hadiah yang disediakan dan terhidang, kerana rasa cinta - kepada kopi itu sendiri.
Jadi, ya, "sudah minum kopi hari ini?"
* Azlinariah Abdullah ialah pengkaji Sosiologi dan Budaya Institut Asia-Eropah (AEI), Universiti Malaya dan penulis buku Pengembara Tanpa Pasport
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Fri Oct 01 2021
1 Oktober setiap tahun dirai sebagai Hari Kopi Antarabangsa sebagai memperingati uniknya kopi kepada budaya dan kehidupan penggemar serta peminatnya. - Gambar Astro AWANI
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Checkmate! remaja tewaskan juara bertahan dari China
Seorang remaja berusia 18 tahun dari India, Gukesh Dommaraju dinobatkan juara dunia catur termuda selepas menundukkan lawannya dari China yang juga juara bertahan, Ding Liren. Dommaraju menewaskan Liren dalam satu perlawanan dramatik yang berlansung di Singapura.
Saya dinasihat kekal sebagai MB sehingga akhir penggal - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan.
Malaysia antara peminum kopi terbanyak di Asia Pasifik
Rakyat Malaysia secara purata meminum 107 cawan kopi pada tahun 2021 berbanding hanya 52 cawan pada empat tahun sebelumnya.
Sudah minum kopi hari ini?
Sempena Hari Kopi Antarabangsa pada 1 Oktober, ini tulisan mengenai keistimewaan kopi daripada laras falsafah kepada kehidupan, kecintaan kepada rasanya serta sudut kesihatan kepada penggemarnya.