TAIPING: Sudut Lions atau Lions Corner yang baharu diwujudkan di kawasan riadah popular Raintree Walk, Taman Tasik Taiping memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati hutan hujan di sini.

Bukan itu sahaja, lokasi yang dikenali dengan kanopi pokok hujan-hujan (Samanea saman) berusia lebih 100 tahun itu juga sedikit sebanyak mampu menampung kehadiran pengunjung khususnya pada hujung minggu.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir, projek komuniti itu membabitkan kerjasama enam Kelab Lions di Taiping dan Kerian (Zon 11).

"Penyediaan meja dan kerusi bagi tujuan berehat untuk pengunjung dan penduduk Taiping di Sudut Lions-Lions Corner telah siap dibina.

"Dengan sumbangan dari pihak Kelab Lions ini pengunjung boleh berhenti dan berehat sambil menikmati pemandangan.

"Ia adalah persekitaran yang aman dan tenang yang membolehkan pengunjung berhubung dengan alam semula jadi dan menghargai keindahan hutan hujan," katanya ketika merasmikan Sudut Lions di sini semalam.

Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Setiausaha Perbandaran, Kamaruzzaman Kamari.

Foto MPT

Katanya lagi, MPT sentiasa mengalu-alukan kolaborasi sebegitu, tidak kira daripada pertubuhan atau persatuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Raintree Walk merupakan tarikan popular di bandar Taiping dan ia adalah laluan pejalan kaki yang unik melalui kanopi pokok hujan-hujan yang berusia lebih 138 tahun.

"Bermula 15 Disember 2017, sebahagian Jalan Pekeliling sepanjang 630 meter di hadapan Hotel Flemington sehingga persimpangan berhadapan Menara Kamal Bina ditutup secara kekal untuk dijadikan Raintree Walk dan Zon Tanpa Kenderaan Bermotor.

"Seterusnya pada 28 Januari 2022, jalan dua hala sepanjang 750 meter yang menghubungkan Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping dengan jalan di Taman Saw Ah Choy berhampiran bulatan Hotel Flemington dibina bagi penutupan jalan Raintree Walk 2.0," katanya lagi.

Foto MPT

Katanya, secara keseluruhan terdapat lapan tasik di kawasan Taman Tasik Taiping.

Taman Tasik Taiping dibangunkan pada tahun 1884 dengan keluasan 64 hektar dan terletak di tengah-tengah bandar.

Ia dibuka dan dirasmikan pada 17 November 1893 oleh Residen British di Perak, Frank Swettenham.