Orang ramai perlu mengambil inisiatif untuk menanam lebih banyak pokok bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.

Pengerusi Landskap Malaysia Tun Jeanne Abdullah berkata penanaman pokok-pokok baharu dapat membantu menyerap karbon dioksida dari udara yang akhirnya mengurangkan kesan gas rumah hijau.

"Walaupun fotosintesis kelihatan seperti proses yang mudah tetapi ia proses yang penting, pokok dan hutan boleh mempengaruhi iklim, seterusnya memberi kesan kepada cuaca.

"Perubahan iklim bukan hanya satu isu penting buat kita, tetapi juga untuk generasi masa hadapan yang akan mewarisi planet indah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penanaman pokok oleh Mitsubishi Corporation dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini Sabtu.

Lebih 400 peserta dari Mitsubishi, kakitangan dan pelajar UPM terlibat dalam majlis penanaman pokok yang bertujuan menunjukkan komitmen dalam memulihkan kemusnahan hutan hujan tropika.

Sebanyak 5,000 benih mewakili 20 spesies yang tersenarai dalam Senarai Merah (hampir terancam) Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), ditanam pada majlis itu.

Terdahulu ketika berucap, Jeanne berkata dengan mencipta semula hutan hujan tropika menerusi projek ini, ia juga akan memulihkan fungsi ekologi.

"Menerusi projek ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak flora dan fauna untuk memperkayakan kawasan degradasi.

"Mengambil contoh Hutan Simpan Ayer Hitam di Puchong (yang diuruskan oleh UPM), kawasan sekitarnya lebih sejuk dan penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu mendapat manfaat daripada hutan simpan tersebut," katanya.