GAYA HIDUP
Tiga dekad Cikgu Roslah berjasa didik anak bangsa

Roslah (tengah) bersama anak-anak muridnya di SK Lebu yang meraikan persaraannya pada Isnin. - Gambar Sinar Harian
BENTONG: Setiap kali melangkah ke bilik darjah, senyuman kecil yang menyapa wajah murid-murid sudah cukup untuk menghapuskan segala penat lelah seorang guru.
Itulah pengalaman berharga yang menjadi penguat semangat buat Roslah Ishak, 58, sepanjang lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia pendidikan.
Dilahirkan pada 19 Ogos 1967 di Felda Lurah Bilut di sini, Roslah menutup tirai kerjayanya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebu, selepas hampir 10 tahun berkhidmat di sekolah berkenaan.
Baginya, profesion perguruan bukan sekadar kerjaya tetapi satu panggilan jiwa dan amanah yang digalas dengan penuh cinta.Perjalanan Roslah bukan mudah. Pada 1991, demi mengejar cita-cita bergelar pendidik, beliau melangkah masuk ke Maktab Perguruan Kuala Terengganu yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.
Namun, keputusan itu menguji jiwa seorang ibu apabila terpaksa meninggalkan sementara suami, Roslan Endot, dan anaknya, Nurul Anira, yang ketika itu baru berusia setahun setengah.
“Masa itu hati saya luluh tetapi saya yakin ia jalan yang akan membuka ruang rezeki dan masa depan keluarga. Walaupun berat, saya kuatkan diri,” ujarnya.
Permohonan pertama ditolak, namun percubaan kedua membuahkan hasil dan detik itu menjadi titik mula perjalanan panjang Roslah dalam dunia pendidikan.
Selepas menamatkan pengajian di maktab, Roslah memulakan khidmatnya sebagai guru di SK Sulaiman pada 1994 sebelum ditukarkan ke SK Lurah Bilut.
Beliau berkhidmat di SK Lurah Bilut selama 20 tahun dan kemudian meneruskan baktinya di SK Lebu sehingga bersara.
Sejak di bangku sekolah, Roslah sudah menunjukkan minat untuk mengajar apabila sering membantu guru dan rakan-rakan.
Baginya, mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi menyentuh hati dan membimbing sahsiah murid.
“Mendidik anak bangsa bukan tugas biasa tetapi amanah yang akan dipersoalkan di akhirat,” katanya.
Menurut guru Bahasa Melayu, Sejarah, Seni dan Muzik itu lagi, menjadi seorang guru menuntut kesabaran tinggi, apatah lagi dengan cabaran teknologi serta dasar baharu pendidikan.
“Menjadi seorang guru memerlukan kesabaran yang tinggi selain sentiasa memperbaiki kemahiran, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT).
“Sebagai pelaksana dasar-dasar baharu Kementerian Pendidikan, perkembangan teknologi memang mencabar, namun perlu diharungi demi anak bangsa,” jelasnya.
Terkenal dengan sifat penyayang dan dermawan, Roslah menyifatkan setiap anak didiknya sebagai bintang yang akan terus bersinar.
“Setiap senyuman, setiap kejayaan dan setiap usaha murid saya menjadi motivasi untuk saya bertahan selama ini. Mereka inspirasi yang tidak ternilai,” katanya.
Selain Nurul Anira, 34, Roslah dan suami, Roslan, 62, dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Nurul Aina Alia, 30, Muhammad Ammar, 27, dan Nurul Aisyah Asilah, 24.
Selepas lebih 30 tahun mencurahkan tenaga, Roslah kini mahu menumpukan masa kepada keluarga.
“Walaupun sudah bersara, saya tetap seorang guru. Jiwa ini tetap bersama dunia pendidikan,” ujarnya.
Kini Roslah bersyukur apabila pengorbanan dan kasih sayangnya terhadap kerjaya menjadi inspirasi buat anak-anaknya.
Dua daripada empat cahaya matanya iaitu anak sulung, Nurul Anira dan bongsu, Nurul Aisyah Asilah, memilih menjadi pendidik, meneruskan legasi ibunya.
“Itulah hadiah paling bermakna. Saya mahu mereka bukan sahaja menjadi guru yang mengajar tetapi pendidik yang mendidik dengan hati,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami