JOHOR BAHRU: Keprihatinan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam membangun dan memperkasa belia di negeri Johor bukan merupakan satu perkara asing bagi rakyat di negeri itu terutama dalam aspek sukan dan kemasyarakatan.

Ia lebih-lebih lagi selepas Tunku Mahkota Ismail diberi tanggungjawab oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri itu pada 19 Sept 2020.

Lantaran itu, baginda telah mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC) yang menjadi platform untuk komuniti belia menjalankan aktiviti rekreasi dan beriadah secara santai dengan TMIYC pertama diwujudkan di Johor Bahru pada 21 Dis 2020.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Johor Bahru Muhamad Farid Mohd Firuz berkata kewujudan TMIYC itu bukan sahaja memberi peluang kepada belia menjalankan aktiviti rekreasi dan riadah, malah berpotensi melahirkan generasi muda berkualiti dan berkeyakinan tinggi.

"TMIYC merupakan satu idea yang baik kerana Johor sememangnya memerlukan hab rekreasi yang strategik untuk belia. Rekaan dan komponen TMIYC juga berbeza di setiap daerah bergantung kepada minat komuniti atau belia di sesuatu tempat itu.



"Di Johor Bahru misalnya, TMIYC menyediakan pelbagai komponen bukan sahaja untuk belia, tetapi juga untuk keluarga yang mahu meluangkan masa bersama antaranya taman papan selaju iaitu Skatepro, trek basikal (Pump Track), taman parkour dan taman permainan kanak-kanak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau difahamkan kerajaan negeri bercadang membuka sekurang-kurangnya satu TMIYC di kesemua 10 daerah di Johor secara berperingkat.

TMIYC Johor Bahru merupakan pusat aktiviti belia pertama di Johor, diikuti TMIYC Muar bakal beroperasi pada April ini dan TMIYC Pasir Gudang dijangka dibuka November ini manakala TMIYC Iskandar Puteri pula sedang dalam pembinaan.



Sementara itu seorang pengunjung Ahmad Zaid Hamizan Mohd Jeffri, 18, yang menggemari sukan ekstrem parkur berkata dia gembira kerana dengan adanya pusat aktiviti itu, dia boleh mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti sukan bersama rakan-rakan terutamanya selepas selesai waktu persekolahan dan hujung minggu.

"Pelbagai aktiviti termasuk sukan ekstrem dapat dilakukan di TMIYC ini dan kemudahan yang disediakan pun sangat menarik. Sebelum ini, ramai anak muda yang berminat untuk menyertai sukan ekstrem ini tetapi mereka tidak tahu ke mana harus dituju," kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Al-Quran Waddin itu.



Ahmad Zaid Hamizan berharap dengan adanya TMIYC di daerah lain di negeri itu, lebih ramai lagi golongan muda akan melibatkan diri dengan aktiviti gaya hidup sihat, sekali gus menghindarkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak diingini.

Bagi Mohd Helmi Md Ali, 43, pula walaupun TMIYC kelihatan seperti lebih menumpukan kepada hab belia, namun sebenarnya pusat komuniti itu turut disifatkan "mesra keluarga" kerana menyediakan kemudahan untuk seisi keluarga menjalankan aktiviti beriadah secara santai.

"Pada hujung minggu, saya akan membawa anak-anak yang masih kecil beriadah di TMIYC kerana kemudahan yang disediakan memang lengkap dan selamat digunakan selain terdapat pelbagai jenis perniagaan berkonsepkan 'urban' ada di sini," kata pekerja swasta itu.



Mohd Helmi berkata idea Tunku Mahkota Ismail membangunkan TMIYC di Johor sangat tepat kerana pusat komuniti itu bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah merapatkan hubungan pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.

"Sebagai penduduk Johor, saya amat berbangga apabila Tunku Mahkota Ismail dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor. Saya berharap baginda dapat membimbing belia di negeri ini untuk lebih berjaya seperti baginda membawa pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ke tahap yang dibanggakan ketika ini.

"Diharapkan segala visi yang dibawa Tunku Mahkota Ismail pada masa akan datang menjadi pemangkin kepada golongan muda dan rakyat Johor supaya lebih bersatu dan bersama-sama menjadi penggerak ekonomi di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA