KUALA LUMPUR: PADA awalnya, sebilangan besar rakyat Malaysia yang berkunjung ke Turkiye pada bulan Ramadan agak terkejut dan seperti terkena ‘kejutan budaya’ apabila melihat sejumlah rakyat tempatan yang bebas makan di depan khalayak.

Fenomena itu bukan sesuatu yang asing dan dapat dilihat di pusat-pusat beli-belah atau restoran-restoran tempatan.

Namun, apabila dimaklumkan mengenai gaya hidup masyarakatnya yang sekular khususnya di kota besar seperti Istanbul, maka ramai yang lebih memahaminya.

Berbeza pula di bandar Konya, rata-rata masyarakatnya lebih konservatif dan amalan yang dituntut agama dilaksanakan mereka.

Bagi Pengarah Tourism Malaysia–Istanbul, Norlizah Jahaya, pengalaman menjalani ibadah puasa di kota pelancongan terkemuka dunia itu memberi perspektif baharu kepadanya mengenai gaya hidup masyarakat.

Bersyukur diberi kesempatan itu, Norlizah memanfaatkan sepenuhnya masa dan kesempatan yang ada di Istanbul dengan mengutip sebanyak mungkin pengalaman di perantauan.

Untuk Ramadan tahun ini disambut pada musim bunga dengan suhu sekitar 10 hingga 14 darjah Celsius.
Umat Islam di sana berbuka puasa sekitar 7.40 malam sementara waktu sahur pula kebiasaannya sekitar pukul 4.30 pagi.

Tentu sekali, cerita Norlizah, suasana Ramadan di Istanbul jauh berbeza jika dibandingkan di tanah air.

“Bazar Ramadan memang tidak ada di sini. Semuanya serba sederhana di sini. Masyarakatnya lebnih selesa berbuka puasa di rumah atau di restoran.

“Demikian juga kalau di masjid-masjid, juadah berbuka di sediakan di luar masjid untuk diberikan kepada orang ramai yang berpuasa dan hidangan yang diedarkan pula hanyalah roti dan susu,” kata Norlizah kepada Astro AWANI.

Kemanisan sambut Ramadan di Istanbul


Berjemaah mengerjakan solat sunat Tarawih.


Kerinduan Norlizah dan rakan-rakan di pejabat konsulat Malaysia kepada budaya berpuasa di tanah air bagaimanapun, terubat apabila mereka sering berhimpun untuk majlis berbuka puasa serta mendirikan solat sunat Tarawih.

Kalau sudah namanya rakyat Malaysia, pelbagai hidangan dari tanah air disediakan oleh pegawai dan kakitangan.

“Alhamdulillah, kami sering berkumpul dan bertukar juadah semasa majlis berbuka yang diadakan di kediaman pegawai-pegawai konsulat,” kata Norlizah lagi.

Sepanjang bulan Ramadan juga, kota Istanbul, ujar Norlizah, meriah dengan orang ramai mengunjungi masjid-masjid untuk mengerjakan solat sunat Tarawih.

Solat sunat Tarawih di negara ini, jelas Norlizah, dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan diadakan secara empat rakaat beserta satu salam, manakala, solat sunat Witir pula sebanyak tiga rakaat dengan satu salam.

Norlizah Jahaya (tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya.