GAYA HIDUP
Warga emas sertai larian, sukan lasak bukti usia bukan penghalang

Aktiviti sukan menjadi cara mereka menjaga kesihatan, memberi inspirasi kepada keluarga, dan menguatkan semangat persahabatan. - Gambar hiasan
KUANTAN: Hebat! Perkataan itu terlintas di fikiran ketika melihat tiga warga emas yang bersahabat baik berjaya menghabiskan larian sejauh 10 kilometer (km) tanpa sebarang masalah.
Ringkasan AI
- Tiga sahabat warga emas Datuk Wan Mohammad Zaidi, Datuk Abdul Walid, dan Yahaya Tahir berjaya menamatkan larian 10 km dalam program King of Sungai Lembing, membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal aktif.
- Mereka aktif menyertai pelbagai cabaran lasak seperti menawan Gunung Kinabalu dan Cabaran Mara Lasak, yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental.
- Aktiviti sukan menjadi cara mereka menjaga kesihatan, memberi inspirasi kepada keluarga, dan menguatkan semangat persahabatan, walaupun dengan jadual kerja yang padat dan cabaran usia.
Wan Mohammad Zaidi yang baru saja meninggalkan seragam "wira merah" pada awal tahun ini, berkata mereka bertiga sentiasa menyertai aktiviti sedemikian bagi mencabar diri selain mahu kekal aktif ketika usia melanjut.
"Kami juga berjaya menawan puncak Kinabalu di Sabah pada bulan lepas (April)," katanya ketika ditemui Bernama.
Katanya aktiviti sukan seperti itu bukan sahaja memerlukan kecergasan fizikal tetapi juga kekuatan mental bagi mengharungi cabaran.
Buktinya, pada Februari lepas mereka muncul juara kategori VIP berkumpulan 10 orang bagi Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 di Raub, yang menyaksikan mereka berlari sejauh 10 km merentasi hutan, sungai dan laluan berbukit sambil membawa beban seberat lima kilogram.
"Saya juga aktif bersukan kerana mahu memberi inspirasi kepada anak lelaki saya yang kini sedang berjuang melawan kanser usus," kongsinya yang mempunyai tiga orang anak dan tujuh cucu.
Bagi Abdul Walid pula, meskipun jadual tugasnya sentiasa padat, beliau tetap berusaha menyelitkan aktiviti kecergasan setiap hari bagi memastikan beliau sentiasa sihat dan bertenaga, yang seterusnya membantu beliau menjalankan peranannya dengan lebih cekap.
"Saya sememangnya minat bersukan sejak di sekolah menengah, dan membawa hingga usia sebegini setiap hari mesti lakukan senaman sekurang-kurangnya berjalan sejauh tiga km. Malah saya juga amalkan minum madu kelulut setiap pagi untuk kekal cergas," kata bapa kepada enam anak dan datuk kepada enam cucu itu.
Sementara itu, Yahaya yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, berkata baginya bersukan bukan sekadar hobi tetapi "senjata" untuk melawan penyakit.
Bakal berstatus warga emas pada Januari tahun depan, beliau yang menetap di Indera Sempurna di sini, berkata kini, gaya hidup sihat menjadi keutamaannya.
"Lagi tua lagi kena jaga kesihatan diri. Jadi, ini satu usaha (saya) untuk memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa, dan saya harap lepas bersara pun masih dapat kekal aktif.
"Saya juga bersyukur rakan-rakan banyak beri sokongan sepanjang kami sertai pelbagai aktiviti sukan, malah rasa lebih seronok dan teruja bila ada mereka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami