ZafigoX 2019: Ini enam aplikasi yang perlu ada buat wanita sebelum memulakan pengembaraan

Nursyazwani Saiful Sham
September 22, 2019 09:34 MYT
Terutamanya bagi wanita yang akan memulakan pengembaraan seorang diri, pilihan aplikasi yang tertera ini akan membantu anda untuk tidak merasa bimbang ketika meneroka dan menjelajah negara lain. -Gambar fail
Bagi anda yang akan memulakan pengembaraan tidak lama lagi, ada beberapa aplikasi yang ditawarkan untuk memudahkan perjalanan anda.
Terutamanya bagi wanita yang akan memulakan pengembaraan seorang diri, pilihan aplikasi yang tertera ini akan membantu anda untuk tidak merasa bimbang ketika meneroka dan menjelajah negara lain.
Pilihan aplikasi yang dikongsikan oleh Penasihat Teknologi soyacincau.com, Raywen Ong menerusi persidangan ZafigoX 2019 yang merupakan platform buat wanita berkongsikan pengalaman pengembaraan mereka.
Skyscanner
Skyscanner merupakan laman web yang membandingkan harga tiket penerbangan dari beberapa syarikat penerbangan berlainan.
Menurut Raywen, laman web ini juga turut menawarkan promosi hebat yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tertentu.
Laman web ini juga menawarkan perbandingan harga penginapan di sesebuah negara yang ingin dikunjungi.
Airbnb
Pasti ramai yang sudah sedia maklum perkhidmatan yang ditawarkan oleh Airbnb. Bukan sahaja mereka menawarkan pilihan penginapan yang berpatutan dan selesa.
Malah aplikasi ini juga menawarkan pilihan untuk anda menerokai pengalaman unik dan budaya di tempat yang ingin dituju.
Anda juga boleh membaca pendapat pengguna aplikasi ini untuk mengetahui sama ada perkhidmatan yang ditawarkan memuaskan atau sebaliknya.
Go Bear
Raywen turut menasihatkan wanita untuk mendapatkan insurans sebelum memulakan pengembaraan mereka.
Menerusi laman web ini, anda diberi pilihan untuk memilih insurans yang ditawarkan berdasarkan harga dan ketetapan pilihan anda.
Malang tidak berbau.. Tetapi sekurang-kurangnya anda dinasihatkan untuk mengambil langkah penjagaan sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku.
Google Translate
Aplikasi ini pastinya sangat membantu ketika anda berada di luar negara dan tidak fasih menggunakan bahasa ibunda mereka.
Beberapa ciri tambahan dalam aplikasi ini memudahkan anda memahami bahasa mereka contohnya pada papan tanda.
Anda hanya perlu memaparkan mod bacaan pada aplikasi itu dan ia akan diterjemahkan secara automatik.
Google Maps
Dengan menggunakan aplikasi ini, anda boleh kemana-mana sahaja tanpa perlu rasa bimbang.
Dan dalam aplikasi ini juga ada paparan “Popular Times” yang akan mengesyorkan kepada anda pilihan utama pelancong dan penduduk tempatan di sesuatu lokasi itu.
Ciri terbaru seperti augmented reality (AR) juga akan memastikan anda tidak sesat dan mengetahui hala tuju.
Klook
Kemana-mana sahaja destinasi yang ingin dituju, pastinya penggunaan wifi dan internet antara kewajipan ada masa kini.
Anda boleh membeli rangkaian data atau wifi mudah alih yang senang dibawa kemana-mana sahaja ketika melancong.
Bukan itu sahaja yang ditawarkan aplikasi ini, tetapi ia juga menawarkan pembelian tiket pusat pelancongan. Anda tidak perlu lagi beratur panjang terutamanya jika anda ingin kunjungi tempat-tempat ‘hotspot’.
BACA: Zafigox 2019 platform buat wanita kongsi pengalaman pengembaraan
Itu antara enam aplikasi yang dikongsikan Raywen buat wanita yang ingin memulakan pengembaraan mereka.
Pastikan anda terokai dan pelajari lebih lanjut kawasan atau negara yang ingin dituju agar perjalanan lebih selamat dan terkawal.
#aplikasi #melancong #mengembara #Raywen Ong #wanita #ZafigoX 2019