KUALA LUMPUR: Bermula dengan hanya minat untuk menambah pengetahuan tentang sejarah perang, Zafrani Mohd Ariffin kini terkenal sebagai pengkaji sejarah khususnya berkaitan Perang Dunia Kedua dan pendaratan Jepun di Kelantan.

Kebolehan Zafrani, 52, bercerita secara terperinci dan fakta mengenai peristiwa perang lampau yang diperoleh daripada sumber seperti lapangan, temu bual dan bacaan menjadikan beliau ibarat 'ensiklopedia' kepada pelbagai pihak.

Beliau sering dijemput oleh pihak muzium, sekolah, universiti untuk menyertai pameran dan memberikan penerangan sejarah yang berlaku di negeri Cik Siti Wan Kembang, selain menjadi rujukan kepada penyelidik dan pelancong luar negara.

Berkongsi cerita tentang minatnya, Zafrani berkata ia bermula sekitar awal 80-an apabila sering menonton cerita berkaitan peperangan Dunia Kedua seperti Combat, Pearl Harbor dan Baa Baa Black Sheep, yang turut memberi impak secara langsung kepada Tanah Melayu.

"Apabila ia (peperangan) turut berlaku di persekitaran kita dan ada pertalian dengan keluarga sendiri yang melaluinya, kita merasakan peristiwa itu lebih dekat. Jadi, timbul perasaan ingin tahu," katanya yang kini bertugas sebagai pemandu pelancong.

Bagi mengembangkan pengetahuan sejarahnya, bekas pegawai bank itu berkata beliau banyak membaca buku mengenai peperangan dari dalam dan luar negara serta melawat tempat-tempat kesan tinggalan sejarah berkaitan kemerdekaan dan Perang Dunia Kedua di Kelantan.

Antara penemuan yang diperoleh bersama pasukannya berkaitan tinggalan Perang Dunia Kedua yang dijumpai di Kelantan ialah kelongsong peluru tentera British, duit syiling lama, kelengkapan webbing tentera, telaga kem tentera British serta tiga kesan kawah bom Jepun yang masih ada di Machang.

"Peralatan yang berkaitan tentera itu turut disumbangkan kepada Muzium Perang Bank Kerapu di Kota Bharu sebagai bukti dan bahan pameran kesan tinggalan sejarah perang," katanya.

Selain pengkaji sejarah, Zafrani juga aktif menulis dan menterjemah buku-buku berkaitan sejarah perang antaranya The War in Malaya (1949) yang ditulis oleh Panglima Tentera British, Leftenan Jeneral Arthur Percival, mengenai laporan punca British tewas kepada Jepun.

Anak jati Kota Bharu itu berkata sejarah berkaitan Perang Dunia Kedua dan pendaratan tentera Jepun di Kelantan sangat berpotensi sebagai daya tarikan pelancongan bersejarah namun usaha mempromosikannya masih belum secara aktif dan menyeluruh.

Sebagai contoh, beliau berkata Pearl Harbor menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dunia sedangkan kapal Amerika Syarikat yang dibom tentera Jepun telah pun tiada, begitu juga Jambatan Kereta Api maut Burma-Siam yang tidak lekang menerima kunjungan pelancong, sedangkan ia hanya sebuah jambatan semata-mata.

"Pelancong datang kerana mahu menjiwai peristiwa yang pernah berlaku di situ. Di Kelantan, tidak kurang juga, contohnya Pantai Kuala Pak Amat, lokasi tapak pertempuran pertama di Tanah Melayu antara tentera British dan Jepun pada 8 Dis 1941, sejam lebih awal sebelum berlaku serangan ke atas Pearl Harbor.

"Ini adalah sejarah dan rekod dunia yang setaraf dengan Pearl Harbor. Persoalannya kenapa ramai yang pergi ke Pearl Harbor, tetapi tidak di sini. Sepatutnya kita sama taraf, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi," katanya.

Sementara itu, Zafrani berkata adalah penting untuk mempelajari sejarah Perang Dunia Kedua dan pendaratan Jepun di Tanah Melayu kerana ia dapat membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri selain menghayati bagaimana sukarnya untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah.

"Jadi, (dengan pengetahuan sejarah) boleh timbul kesedaran dalam kalangan rakyat untuk terus mempertahankan negara berdaulat ini.

"Selain itu, ia juga mengingatkan rakyat untuk menghargai pengorbanan tulen pejuang-pejuang terdahulu sehingga sanggup menggadaikan nyawa demi sebuah kemerdekaan," katanya.

-- BERNAMA / Mohd Afiq Zulkifli