LONDON: Penerbit dan pemenang Anugerah Oscar Jeremy Thomas, yang terkenal menerusi filem termasuk The Last Emperor dan Sexy Beast, meninggal dunia pada usia 77 tahun, menurut publisisnya, lapor PA Media/dpa.
Kenyataan kepada Press Association mengesahkan Thomas “meninggal dunia dengan tenang” dikelilingi keluarga dan insan tersayang di kediamannya di luar bandar Oxfordshire pada Jumaat.
Thomas merupakan tokoh terkenal dalam industri perfileman yang pernah bekerjasama dengan pengarah antarabangsa termasuk Bernardo Bertolucci, David Cronenberg dan Matteo Garrone sepanjang kerjayanya yang menjangkau beberapa dekad.
Antara filem terkenal lain yang diterbitkannya ialah drama The Sheltering Sky pada 1990, dibintangi John Malkovich dan Debra Winger, serta filem thriller distopia High-Rise pada 2015, lakonan Tom Hiddleston dan Jeremy Irons.
Penerbit Britain itu menempa nama menerusi kejayaan filem arus perdana The Last Emperor, drama biografi 1987 mengenai kehidupan Puyi, maharaja terakhir Dinasti Qing di China.
Beliau dianugerahkan darjah Commander of the Order of the British Empire (CBE) menerusi Senarai Penghormatan Tahun Baharu 2009.
Kerjasama terbaharu Thomas dengan pembuat filem Jepun Takashi Miike menerusi Bad Lieutenant: Tokyo akan ditayangkan buat julung kali di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada Isnin.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa