Skip to main content

Dunia

Perbicaraan pembunuhan Tupac Shakur akhirnya bermula selepas hampir tiga dekad

Duane "Keffe D" Davis appears in court next to his attorney Michael Sanft on the third day of jury selection for his trial for his alleged role in leading a group of men to kill Tupac Shakur in a 1996 drive-by shooting near the Las Vegas Strip, in Las Vegas, Nevada, U.S., August 12, 2026. Steve Marcus/via REUTERS
Duane “Keffe D” Davis hadir di mahkamah bersama peguamnya, Michael Sanft bagi perbicaraan melibatkan dakwaan peranannya mengetuai sekumpulan lelaki yang membunuh penyanyi rap Tupac Shakur dalam insiden tembakan di Las Vegas Strip pada tahun 1996. - Foto REUTERS
Advertisement

LAS VEGAS: Perbicaraan pembunuhan legenda hip hop Amerika Syarikat (AS), Tupac Shakur, akhirnya bermula di Las Vegas hampir tiga dekad selepas penyanyi rap itu ditembak mati dalam kejadian serangan hendap pada 1996.

Seorang saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian memberitahu mahkamah bahawa “segala-galanya bertukar menjadi huru-hara” sebaik sahaja tembakan dilepaskan ke arah kenderaan yang membawa Tupac.

Perbicaraan itu melibatkan Duane “Keffe D” Davis, 63, yang merupakan individu pertama pernah didakwa berhubung pembunuhan Tupac.

Pendakwa raya mendakwa Davis berperanan merancang dan mengarahkan serangan tersebut sebagai tindakan balas dendam susulan pergaduhan yang berlaku beberapa jam lebih awal di MGM Grand, Las Vegas.

Dalam keterangannya, saksi Ingrid Stokes menceritakan detik-detik sebelum kejadian tembakan berlaku pada malam 7 September 1996.

Menurutnya, beliau bersama rakan-rakan sedang memandu di Las Vegas Strip apabila terserempak dengan sebuah BMW hitam yang dipandu oleh pengasas Death Row Records, Marion “Suge” Knight, dengan Tupac berada di tempat duduk penumpang.

Stokes berkata mereka sempat berinteraksi dengan Knight sebelum meneruskan perjalanan ke Club 662.

Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan Cadillac berwarna putih dikatakan menghampiri BMW berkenaan sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.

Beliau menggambarkan suasana selepas insiden itu sebagai amat kelam-kabut apabila orang ramai panik dan berusaha menyelamatkan diri.

Tupac, yang ketika itu berusia 25 tahun, ditembak beberapa kali ketika kenderaannya berhenti di lampu isyarat di persimpangan Flamingo Road dan Koval Lane.

Beliau meninggal dunia enam hari kemudian akibat kecederaan yang dialami, manakala Knight terselamat dengan kecederaan ringan.

Pendakwa raya menegaskan bahawa walaupun Davis bukan individu yang menarik picu senjata, beliau didakwa bertindak sebagai “dalang” yang mengatur serangan berkenaan.

Mereka bercadang membentangkan rakaman temu bual, kenyataan terdahulu serta kandungan memoir Davis yang diterbitkan pada 2019 sebagai sebahagian daripada bukti kes.

Bagaimanapun, pihak pembelaan menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan naratif pendakwaan sebagai rekaan.

Davis mengaku tidak bersalah dan sebelum ini menegaskan beliau tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

Kes pembunuhan Tupac kekal menjadi antara misteri paling terkenal dalam sejarah muzik dan budaya popular AS selama hampir 30 tahun.

Perbicaraan yang dijangka berlangsung selama beberapa minggu itu akan menampilkan puluhan saksi, termasuk individu yang berada di lokasi kejadian serta mereka yang mempunyai kaitan dengan siasatan asal.

Jika disabitkan kesalahan, Davis berdepan hukuman penjara seumur hidup.

 

 

Must Watch Video

Advertisement