Skip to main content

Malaysia

Siti Nurhaliza enggan panjangkan isu solat tanpa telekung

Sumber: Astro GEMPAK
Siti Nurhaliza memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai penularan gambarnya yang menunaikan solat tanpa telekung sehinggakan menjadi perdebatan dalam kalangan warganet.

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai penularan gambarnya yang menunaikan solat tanpa telekung sehinggakan menjadi perdebatan dalam kalangan warganet.

Menurut Siti Nurhaliza, isu tersebut juga telah pun mendapat perhatian mereka yang arif tentang ibadah dan penjelasan juga telah diberikan.

Advertisement

Sebagai seorang manusia, pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin, 47, ini mengakui dirinya masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang Muslim.

“Bagi saya, yang berkaitan dengan ibadah, saya tak perlu pun nak membalas semula lagipun ustaz pun dah jelaskan. Tak perlu pun saya berkata apa-apa kan. Ustaz dah jelaskan, so kita pun yang beragama Islam kita tahu apa yang sepatutnya kan.

“Tapi dalam masa yang sama, saya masih lagi memperbaiki diri saya, memperbaiki lagi amalan saya.

“Apa yang saya harapkan, Allah semakin memberikan saya kekuatan, kesabaran sebab bukan mudah untuk menjadi anak seni dalam dunia yang semakin mencabar, yang mana setiap apa yang kita buat pasti akan jadi tumpuan,” katanya kepada Gempak.

Tambahnya lagi, pendekatan untuk tidak memberikan komen lanjut adalah kerana bimbang penjelasan daripadanya boleh disalah tafsir.

“Sebab orang yang lebih bijaksana mungkin boleh jelaskan. Sebab kalau saya jelaskan, nanti takut jadi kesalahan pula. Cara penjelasan kita tu berbeza kan. Jadi lebih baik saya berdiam saja” katanya.

Mengulas mengenai perdebatan yang timbul, pelantun lagu Seribu Kemanisan itu menyifatkan situasi tersebut sebagai satu perkara biasa dalam era media sosial.

Malah, dia tidak mengambil hati dengan segala kritikan kerana sudah lali dengan perhatian terhadap apa sahaja yang dilakukan.

“Itu memang normal. Dalam era media sosial ni, memang dah jadi trend. Semua orang suka untuk memberikan pendapat masing. Okey, cuma jangan sampai dia jatuh fitnah saja.

“Bagi saya tak mengapa dan tak ada masalah. Bulan Ramadan yang mulia ni, kita bersangka baik saja.

“Kadang-kadang ada orang tegur tu, kadang-kadang betul juga untuk menegur kita, mungkin ada kurangkan dosa kita kan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua orang anak ini menitipkan pesan kepada orang ramai untuk berhati-hati dalam memberi pandangan dan meninggalkan komen agar tidak menimbulkan sebarang fitnah.

“Dalm dunia media sosial, inilah dia punya suka dan duka ataupun asam garam dia. Kalau kita menulis sampai jatuh fitnah yang boleh datangkan dosa kepada kita, dah jadi kesalahan untuk kita. Kita kena cepat-cepatlah sedar,” ujarnya.

Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan penyanyi lagu Anta Permana itu menunaikan solat dengan hanya berjubah selepas menghadiri sebuah majlis berbuka baru-baru ini, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Isu itu turut mendapat perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim yang menjelaskan bahawa solat penyanyi nombor satu negara itu adalah sah.

Menurut Izhar, antara syarat sah solat bagi wanita ialah menutup aurat dengan sempurna, manakala pemakaian telekung bukanlah satu kewajipan dari sudut hukum, sebaliknya lebih kepada adat dan kebiasaan masyarakat. - Gempak

Must Watch Video