KUALA LUMPUR: Pelakon veteran ternama tanah air, Jalil Hamid menghembuskan nafas terakhir pada 12.30 tengah hari tadi.
Berita duka pemergian seniman berusia 69 tahun itu disahkan anak Allahyarham, Afiqah Jalil di akaun Instagram.
Menurut Afiqah, bapanya meninggal dunia selepas tertidur usai menunaikan solat Subuh.
Kata Afiqah, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya ketika masuk ke bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia di rumah.
Dalam hantaran InstaStory juga, Afiqah berkata, jenazah Allahyarham bapanya akan disolat di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Allahyarham mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah menjalani rawatan berkala.
Allahyarham Jalil merupakan antara seniman popular yang aktif dalam gelanggang lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.
Antara lakonan Allahyarham yang meninggalkan kesan kepada penonton ialah filem Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam.
Sementara drama-drama lakonan Allahyarham sebelum ini pula ialah Cucu Atuk, Beca Usang dan Ayahanda.
Kecemerlangan bakat lakonan Allahyarham Jalil juga melayakkan Allahyarham meraih pelbagai pengiktirafan.
Allahyarham Jalil juga pernah merakamkan lagu Ayam yang bersifat sindiran dan humor yang dirakamkan sekitar awal 1990-an.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, berkata, kehilangan Allahyarham amat pedih untuk diterima namun semua pihak perlu menerima ketentuan Allah.
"Sudah pasti segala gelak tawa dan hasil kerja Allahyarham akan dikenang sepanjang zaman oleh kami warga industri seni tanah air dan seluruh peminat beliau.
"Pemergian Jalil Hamid sudah pasti meninggalkan kesan mendalam pada warga industri seni tanah air kerana beliau sering kali dijadikan rujukan buat pelakon-pelakon komedi baharu, penyanyi baharu malah beliau sememangnya tidak kedekut ilmu dan sentiasa bersedia untuk berkongsi ilmu.
"Segala keringat yang dicurahkan kepada industri ini akan dikenang sepanjang zaman oleh kami pelapis-pelapis baru masa ini.
"Seniman ingin merakamkan jutaan terima kasih atas segala pengorbanan, pandangan, ilmu dan kerjasama dalam program-program Seniman sebelum ini bersama Allahyarham Jalil Hamid.
"Seniman mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Seniman juga berharap seluruh keluarga Allahyarham reda dan sabar atas pemergian beliau," katanya.