Skip to main content

Hiburan

Ibu penyanyi mendiang Anita Mui meninggal dunia tercekik makanan

[TB]_Tam Mei Kam meninggal dunia_ASTRO GEMPAK
Sebelum ini, mendiang Mui (kiri) dilaporkan tidak begitu rapat dengan ibunya (kanan). - Gempak
Advertisement

Ibu kepada mendiang penyanyi 'Cantopop' terkenal, mendiang Anita Mui, Tam Mei Kam, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tercekik makanan sewaktu sedang makan sebelum rebah di sebuah unit kediaman di Leighton Road, Hong Kong.

Mei Kam meninggal dunia pada usia 102 tahun, 30 Ogos lalu. Menurut laporan media Hong Kong, The Standard, pihak kecemasan menerima panggilan kira-kira jam 10.48 pagi selepas seorang wanita warga emas dilaporkan tercekik ketika sedang makan sebelum rebah.

Pasukan paramedik yang tiba di lokasi mendapati wanita berkenaan tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke Ruttonjee Hospital, Wan Chai untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia di hospital.

Wanita terbabit kemudiannya dikenal pasti sebagai Tam Mei Kam. Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Menurut laporan ST Headlines, mendiang semakin jarang membuat kemunculan di khalayak ramai sejak sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100, dua tahun lalu.

Kemunculan terakhirnya dilaporkan pada Februari lalu menerusi ucapan Tahun Baharu Cina yang dimuat naik di laman Facebook kelab peminat antarabangsa Anita Mui.

Selepas Mui meninggal dunia akibat kanser serviks pada 2003, ibunya dilaporkan terpalit dengan pelbagai pertikaian berkaitan kewangan dan keluarga bersama anak lelakinya, Peter.

Selain Mui dan Peter, Mei Kam turut mempunyai dua lagi anak, Ann dan Tak Ming. Ann meninggal dunia akibat kanser rahim pada 2000, manakala Tak Ming pula meninggal dunia akibat kanser tekak pada 2015.

Pada 2012, Mei Kam diisytiharkan muflis selepas gagal membayar yuran guaman berjumlah HK$2.24 juta susulan kekalahan dalam pertikaian undang-undang berkaitan harta peninggalan Mui.

Bagaimanapun, dia dilepaskan daripada status muflis pada 2016. Warga emas itu sekali lagi berdepan isu muflis pada 2017, namun akhirnya berjaya melangsaikan hutangnya.

Sebelum ini, Mui dilaporkan tidak begitu rapat dengan ibunya. Dalam wasiatnya, bintang itu dikatakan menetapkan agar wang peninggalannya dimasukkan ke dalam sebuah amanah, yang kemudiannya membayar elaun bulanan sebanyak HK$70,000 kepada ibunya.

Jumlah tersebut bagaimanapun kemudiannya meningkat selepas beberapa siri pertikaian dan tindakan undang-undang.

Sementara itu,  ST Headlines melaporkan Peter terkejut apabila dihubungi media mengenai berita kematian ibunya.

Peter dikatakan memberitahu dia langsung tidak mengetahui mengenai pemergian ibunya dan sudah terputus hubungan dengan semua ahli keluarganya.

Dia kemudiannya dilihat tiba di hospital kira-kira jam 3.30 petang dengan wajah sugul. - Gempak
 

Must Watch Video

Advertisement