Ringkasan AI
- Kumpulan ALPHA memenangi dua anugerah utama pada Anugerah Industri Muzik ke-25, iaitu Artis Baharu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.
- Rizal menyifatkan kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan.
- Ariel menegaskan tekanan dan harapan peminat sudah dirasai sejak awal, dan kemenangan membawa tanggungjawab serta semangat untuk menghasilkan karya lebih baik.
MEMENANGI dua anugerah utama pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), kumpulan ALPHA meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut.
Mewakili kumpulan, Rizal menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah besar yang menjadi pembakar semangat buat mereka untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik tempatan.
"Pertama sekali, Alhamdulillah kita dah berjaya memperolehi dua anugerah AIM. Jadi, itu rasanya hadiah yang sangat besar untuk kita semua sebagai Alpha untuk mengekalkan lagi kita dalam industri.
“Jadi, rasanya ini bukan kali terakhir untuk kita, untuk memperolehi anugerah. Harapnya kita akan dapat lagi lepas ini, Insya-Allah dengan hasil kerja keras kita dan usaha kita,” kata Rizal kepada Gempak.
Dalam pada itu, Ariel Fesol mengakui tekanan dan harapan peminat terhadap kumpulan itu sudah dirasai sejak hari pertama mereka membuat kemunculan sebagai sebuah ‘boy group’
Menurut Ariel, kejayaan meraih anugerah bukanlah permulaan kepada tekanan baharu, sebaliknya hadir bersama tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap anggota.
"Saya rasa kalau kita nak bercakap soal tekanan tu bukanlah bila kita dah menang anugerah baru hendak ada tekanan. Sudah tentu setiap pencapaian datang sekali dengan tanggungjawab dan tekanan.
“Bila bercakap soal tekanan dan jangkaan peminat terhadap ALPHA, bukan bermula dari kita menang sesuatu anugerah tapi dari hari pertama lagi kita debut sebagai Alpha.
“Sebab cabaran kita untuk nak memperkenalkan jenama ALPHA sebagai boy group, untuk orang terima… sampai hari ini kita masih dalam proses untuk semua orang biasa.
“Jadi saya rasa tekanan tu sentiasa ada sebabkan ALPHA kita selalu nak perbaiki dan membetulkan apa benda yang kita rasa kurang sebab kita rasa setahun lebih ni belum cukup lagi apa yang kita nak pamerkan,” kata Ariel.
Tambah Ariel, mereka menyimpan hasrat untuk terus bertahan lama dalam industri muzik dan menjadikan kemenangan itu sebagai suntikan semangat untuk menghasilkan karya yang lebih baik buat peminat.
“Kita nak nak berada dalam industri di jangka masa yang lama maka jadi bila menang anugerah dia datang dengan tanggungjawab dan seiring dengan semangatlah.
“Semangat tu yang buatkan kita rasa macam let's do this guys, kita buat lagi, kita buat lagi. Kita tidak mengharapkan anugerah tapi bila ada benda itu dia bagi kita semangat untuk kita nak buat lagi baik. Bukan untuk siapa-siapa, untuk peminat yang menghargai kita, Alphanites,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, ALPHA memenangi dua anugerah iaitu Artis Baharu Terbaik(menerusi lagu Mona Lisa Bang Bang) dan Lagu Pop Terbaik (menerusi lagu P. Ramlee Saloma). -- Gempak