Pengeluar telefon pintar dari Korea, SAMSUNG pada Khamis memperkenalkan dua buah telefon bimbit baru iaitu Samsung Galaxy S6 Edge+ dan Samsung Galaxy Note 5.

Mensasarkan golongan professional, kedua-dua peranti itu dilancarkan dalam acara yang berlangsung di Lincoln Center, New York.

Sepanjang tahun 2015, Samsung mencatatkan penurunan dari segi penjualan walaupun syarikat yang berpusat di Seoul itu merupakan pengeluar telefon bimbit terbesar di dunia. Samsung menguasai 15 peratus keuntungan penjualan telefon bimbit di seluruh dunia.

Samsung dilihat menekankan strategi pemasaran yang mengetengahkan telefon pintar mampu milik bagi menewaskan pesaingnya seperti Apple, Motorola dan LG.

Namun berbeza pula percaturan dengan pengeluar dari China seperti Xiaomi dan Huawei, yang mendominasi pasaran dengan variasi telefon bimbit yang jauh lebih murah.

Pada masa yang sama, Samsung dilihat telah mula mengorak langkah dan menumpukan perhatian kepada peranti phablet (kacukan telefon dan tablet) tetapi haluan berkenaan tetap dikekang ekoran banyak pesaing lain telah sedia menguasai pasaran.

Sememangnya saingan dunia eletronik adalah sukar, melihatkan syarikat seperti HTC yang merupakan peneraju telefon bimbit Android mengumumkan terpaksa menghentikan 15,000 pekerjanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Semasa majlis pelancaran yang berlangsung di New York, para eksekutif Samsung menyentuh pembaharuan yang dimulakan mereka terutama dari sudut inovasi.

Samsung menyatakan bahawa mereka adalah pelopor telefon bimbit yang mempunyai skrin besar.

Walaupun keistimewaan itu dianggap sebagai satu gimik semasa mereka mula-mula memperkenalkannya namun kelebihan skrin besar turut ditiru oleh syarikat seperti Apple.

Keunikan skrin lengkung pada Galaxy S6 Edge+ serta saiz skrin sebanyak 5.7 inci disifatkan Samsung sebagai salah satu pembaharuan baharu yang ingin diketengahkannya.

Menurut penganalisis IDC, Ramon Llamas berkata inovasi adalah kunci kejayaan berterusan Samsung.

“Sungguhpun terdapat banyak phablet di pasaran, Samsung masih mendahului dari segi kualiti dan keseluruhan,” kata Ramon.

Beliau turut menambah Samsung tidak seharusnya mengambil mudah dan mengekalkan perancangan innovasi terutama apabila mula memasuki dunia jam tangan pintar.

Samsung turut mengeluarkan beberapa teaser mengenai jam tangan pintar baru keluaran mereka iaitu Samsung Gear S2 pada majlis berkenaan.

Pengkritik turut menyentuh bahawa tarikh pelancaran kedua-dua peranti itu sangat strategik lantaran diadakan sebulan sebelum majlis bonanza tahunan Apple yang diadakan setiap tahun dalam bulan September.