Kerajaan akan memberi penekanan terhadap penerapan unsur-unsur kreativiti dan inovasi dalam usaha memantapkan latihan guru‎ di Institut Pendidikan Guru (IPG)‎.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk latihan merangkumi program ijazah dan diploma perguruan berkaitan.

"Latihan perguruan merangkumi Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP), Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (PISMP) dan Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (PDPLI).

"Elemen inovasi turut diberi tumpuan melalui aktiviti ‎proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) merangkumi pembentangan, projek, pembinaan sumber PdP, pertandingan inovasi bagi pendidikan lestari dan pembelajaran atas talian," katanya.

Muhyiddin berka‎ta demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan 2, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan 2, P. Kamalanathan dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof.

Tema Hari Guru pada tahun ini adalah "Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi".

Dalam pada itu jelas Muhyiddin, peningkatan profesionalisme dan kualiti guru harus diutamakan dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan.

Katanya, ia sejajar dengan tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu guru dan tuntutan komitmen tinggi bagi melahirkan insan yang berjaya termasuk pemimpin negara.

Tambahnya lagi, dianggarkan 5,000 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG29,DG32,DG34 dan DG38 akan dnaikkan pangkat ke Gred DG42 sepanjang tahun ini.

``Kerajaan juga telah menggabungkan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) ke dalam satu skim perkhidmatan bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP),'' ujarnya.

Katanya lagi, Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh meletakkan sasaran 60 peratus guru siswazah sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah sekolah menengah pada tahun 2015.

Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Kebangsaan manakala bekas Pengetua Cemerlang, Tengku Azuan Tengku Mohamed dinamakan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan.

Sementara, bekas guru Matematik yang mengajar Muhyiddin di Sekolah Tinggi Muar, Yusuf Karto didatangkan khas dalam penampilan istimewa selain diraikan dalam jamuan tengah hari sempena majlis itu.