TEPAT jam 8 malam waktu tempatan Itali atau 3 pagi Jumaat tadi, Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Benedict XVI meletak jawatan secara rasmi. Hari terakhir Benedict XVI dihabiskan dengan bertemu dengan para Cardinal dan penasihat rapatnya.

Peletakan jawatan Benedict XVI secara mengejut itu sekaligus menamatkan pemerintahan 7 tahun dan 10 bulan beliau yang dibayangi dengan pelbagai kontroversi.

Ia juga secara tidak langsung memberi laluan kepada kalangan 115 Cardinal tertinggi (di bawah usia 80 tahun ke bawah) di Vatican untuk bermesyuarat bagi memilih Pope yang baharu. Mereka dijangka bersidang pada Isnin ini bagi menetapkan tarikh pemilihan Pope. Adalah dilaporkan gereja Roman Katolik akan mempunyai seorang Pope baharu sebelum Palm Sunday, 24 Mac ini.

Pastinya, suasana pemilihan kali ini agak berbeza berbanding dengan apa yang berlaku pada April 2005. Ini kerana, ketika itu, dunia meratapi pemergian Pope John Paul II akibat keuzuran. Kali ini pula, Benedict XVI secara sukarela meletak jawatan sesuatu yang tidak pernah dialami oleh Gereja Roman Katolik selama 600 tahun. Kali terakhir seorang Pope meletak jawatan ialah Pope Gregory XII pada 1415 manakala kali terakhir seorang Pope meletak jawatan tanpa sebarang tekanan ialah Pope Celestine V pada 1294.

Ketika itu, Celestine V hanya berada di puncak kekuasaan selama lima bulan namun Celestine V merasakan diri beliau tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab berat sekaligus memilih untuk berundur.

Pengumuman mengejut Benedict XVI untuk berundur lebih dua minggu lalu ternyata merobah pandangan umum terhadap institusi Pope bahawa seseorang Pope tidak boleh meletak jawatan dan perlu berkhidmat sampai ke nafas terakhir mereka. Apa tidaknya, John Paul II umpamanya meneruskan tugasan harian beliau ketika itu biarpun nazak.

Pope Benedict XVI

Pengumuman Benedict XVI bagaimanapun memecahkan mitos itu. Keputusan Benedict XVI untuk meletak jawatan sudah pasti akan bermain-main dalam fikiran Pope yang baharu selepas ini apakah beliau juga akan mengambil jalan yang sama sekiranya keadaan tidak mengizinkan.

Perkembangan ini juga sudah tentu akan mempengaruhi 115 Cardinal yang akan mengundi di Sistine Chapel Mac ini untuk memilih seorang Pope yang jauh lebih muda dan berkarisma daripada seorang figura peralihan. Ketika dipilih sebagai Pope pada 2005, Benedict XVI merupakan figura keempat tertua selepas Pope Leo XIII, Pope Clement XII dan Pope Clement X untuk mengetuai Gereja Roman Katolik dan ramai penganalisis percaya, pemerintahannya hanya bersifat sementara dan tidak mungkin menyaingi pemerintahan dinamik selama 27 tahun oleh Pope John Paul II.

Hakikatnya, ramai termasuk pemimpin tertinggi gereja di seluruh dunia terkejut dengan tindakan Benedict XVI. Namun bagi Benedict XVI sendiri, tanda-tanda ke arah itu sudah kelihatan. Ini diperkukuhkan lagi dengan lawatan sebanyak dua kali oleh Benedict ke makam Celestine V.

Dalam pengumumannya, Benedict XVI memberikan faktor umur yang makin lanjut sebagai alasan untuk berundur. Dari satu sudut, alasan yang dikemukakan Benedict XVI ada asasnya. Ini kerana, beliau dilaporkan mempunyai masalah kesihatan.

Namun bagi kalangan pengkritik mereka agak sangsi dengan alasan Benedict XVI memandangkan tidak ramai Pope yang meletak jawatan. Sebaliknya, mereka yakin skandal seks dalam kalangan paderi selain isu Vatileaks sebagai pemangkin utama kepada keputusan Benedict XVI. Sama ada dakwaan yang dilontarkan benar-benar berasas atau sebaliknya, hanya Benedict XVI sahaja yang mengetahuinya.

Bakal pengganti Pope Benedict XVI

Tumpuan kini sudah pasti terarah ke Sistine Chapel, lokasi berlangsungnya pemilihan Pope baharu nanti. Persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran semua, siapakah yang bakal dipilih sebagai Pope ke-266? Apakah mungkin seorang Pope dari benua Asia akan terpilih? Bersediakah dan sanggupkah para Cardinal untuk menaruh kepercayaan kepada seorang Pope dari Benua Afrika?

Persoalan-persoalan ini berbangkit memandangkan Conclave didominasi oleh Cardinal dari benua Eropah khususnya Itali. Kali terakhir Conclave memilih Pope dari Itali ialah pada 1978 ketika era Pope John Paul 1. Ketika ini, Conclave dianggotai oleh 61 Cardinal dari blok Eropah, 19 dari blok Amerika Latin, 14 dari blok Amerika Utara, 11 dari blok Afrika, 11 dari blok Asia dan satu dari blok Oceania.

Biarpun mesyuarat untuk memilih Pope baharu belum bermula, namun sudah ada desas-desus mengenai calon yang disebut-sebut sebagai pengganti Benedict XVI. Antaranya, Cardinal Peter Kodwo Appiah Turkson dari Ghana, Cardinal Francis Arinze dari Nigeria, Cardinal Marc Ouellet dari Kanada, Cardinal Angelo Scola dari Itali, Cardinal Oscar Rodriguez Maradiaga dari Honduras dan Cardinal Leonardo Sandri dari Argentina.

Dari faktor umur, Arinze, 80, mungkin bukanlah pilihan terbaik kerana gereja Roman Katolik pasti tidak mahu satu lagi pemerintahan Pope pendek. Kekerapan penukaran Pope pada dasarnya tidak menguntungkan kepada pihak gereja. Peter Turkson, 64 dan Marc Ouellet, 69, disebut-sebut sebagai calon pilihan setakat ini. Di usia yang agak muda, pemilihan mereka sekurang-kurangnya boleh membantu mengembangkan pertumbuhan Katolisme di Afrika, Amerika Latin dan Asia.

Melihat kepada kadar pertumbuhan Roman Katolik di dunia, benua Afrika kini mencatatkan pertumbuhan paling pantas iaitu 21 peratus dan diikuti oleh benua Asia sebanyak 11 peratus. Manakala pusat utama pertumbuhan Roman Katolik selama ini, Benua Eropah hanya mencatat pertumbuhan sebanyak 2 peratus.

Jika angka-angka berkenaan digunakan sebagai penanda aras, sudah tentu calon-calon dari Asia dan Afrika akan merasakan diri mereka layak. Akan tetapi, segala-galanya bergantung kepada musyawarah kalangan Cardinal yang bersidang.

Mahu tidak mahu, Pope yang baharu nanti mempunyai tugas getir untuk mengembalikan keyakinan penganut dan umum terhadap institusi gereja yang terpalit dengan pelbagai kontroversi. Skandal seks paderi masih belum reda dan akan terus menjadi duri dalam daging kepada Pope baharu.

Keputusan Benedict XVI untuk berundur secara sukarela adalah muktamad dan seharusnya dihormati. Pemimpin datang dan pergi namun apa yang lebih penting ialah asas atau foundation yang ditinggalkan beliau akan memberi kekuatan kepada penggantinya untuk meneruskan usaha mengukuhkan gereja Roman Katolik.

INI adalah pandangan peribadi penulis.