PADA satu hari di bulan Jun 2010, Kementerian Pelajaran membayangkan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di masa hadapan. Laporan yang disiarkan pada satu hari di bulan Jun 2010 itu mungkin satu hari jadi kenyataan, kalau tidak tahun depan, pada 2015. Maka, ketika itu, bagaimana Malaysia tanpa UPSR? Bermula Selasa hingga Khamis (10 hingga 12 September 2013) lebih 48,000 pelajar Tahun 6 di seluruh sekolah di negara ini akan menduduki UPSR, kalaupun bukan UPSR yang terakhir.

Saya masih ingat, seorang rakan senior yang umurnya kini melebih 40 tahun. Katanya kepada saya, sepanjang umurnya itu beliau melalui lebih 10 peperiksaan. Bermula peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PPDL) diikuti Sijil Rendah Pelajaran (SRP); Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Itu belum masuk peperiksaan lain setiap semester semasa di universiti awam di negara ini. Pendek kata, separuh daripada hidupnya adalah peperiksaan. Apabila namanya peperiksaan tentu datangnya bersama tekanan dan penilaian prestasi kerana itu sifatnya peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa membayangkan untuk memansuhkan UPSR dan PMR berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Sejarahnya peperiksaan, khususnya UPSR yang dahulunya dikenali sebagai Ujian Penilaian Sekolah Rendah, merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di negara ini. Ia diperkenalkan pada 1987 bagi menggantikan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Pada tahun 1995, format Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan subjektif di samping terdapat juga soalan objektif. Matlamatnya untuk menilai pencapaian pelajar sekolah rendah dalam kemahiran asas mereka di dalam Sains dan Matematik dan Bahasa Inggeris selain Bahasa Malaysia dengan berpandukan kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Peperiksaan yang ada kini, UPSR menggantikan PPDL; mewujudkan PMR bagi menggantikan SRP dan menyesuaikan SPM supaya selaras dengan kehendak KBSR dan KBSM, lahir daripada Pelaksanaan Laporan Kabinet (1979) sekaligus memberikan penyesuaian dalam sistem peperiksaan untuk memenuhi hasrat dan kehendak kurikulum sejajar Falsafah Pendidikan Negara.

Namun mengambil kira pemerhatian dan kekhuatiran banyak pihak bahawa pelajar kita terlalu ditekan berorientasi peperiksaan, sangat molek jika UPSR tiada lagi selepas ini. Lebih parah, kalau orientasi UPSR terlalu akademik hingga berlaku kebocoran kertas peperiksaan, maka akibatnya akan dibawa ke PMR. Pelajar-pelajar UPSR khususnya di kalangan Melayu berlumba-lumba mendapatkan 5A untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Sebenarnya, rakan saya yang arif dalam bidang pendidikan mengulas panjang lebar mengenainya. Kata beliau kepada saya “”Sebenarnya kejayaan pendidikan itu tidak terletak kepada sistem itu semata-mata. Usaha membaiki sistem adalah satu perkara yang wajar dilakukan secara berterusan, kata rakan saya itu yang kini mengajar di kelas tambahan di Kuala Lumpur’’. Barangkali itulah yang dilakukan kerajaan dari dahulu sejak Laporan Razak (1954) dibentangkan sehingga kini, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Usaha pembaharuan sistem itu boleh bermula dengan memansuhkan UPSR dan PMR sekali gus. Jika UPSR tiada lagi selepas ini, pembaharuannya bukan kecil, tetapi mega kerana sistemnya akan bertukar daripada orientasi peperiksaan kepada menumpukan untuk mendapatkan maklumat serta ilmu.

Saya seorang ibu yang anaknya akan menduduki UPSR dua hari bermula Selasa. Jujurnya, saya agak bimbang bercampur resah. Bimbang jika saya tidak boleh berdepan tekanan yang bakal dihadapi dari kalangan keluarga yang gemar membanding-bandingkan keputusan anak pasca peperiksaan. Resah jika ilmu yang diberi guru sepanjang enam tahun kepada anak saya itu tidak diamalkan oleh beliau. Selebihnya, saya kira ibu bapa lain berkongsi perasaan yang sama dengan saya. Jujur sahaja sekali lagi, dari kecil saya mengagumi Kolej Tun Fatimah; Kolej Tunku Kursiah dan menyimpan cita-cita menimba ilmu di sana. Pastinya anak-anak juga mahu belajar di sekolah yang menyediakan segala yang terbaik untuk mereka. Mujur nasib saya baik, tidak ke Kolej Tun Fatimah atau Kolej Tunku Kursiah, tetapi ke sekolah asrama penuh aliran agama.

Cerita sejarah sekolah asrama penuh dan keinginan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis itu tentunya akan berkurangan jika UPSR dan PMR dihapuskan. Biarlah selepas ini UPSR dan PMR dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja dan bukannya sebagai peperiksaan awam. Selebihnya, apa yang lebih penting, jika tiada UPSR, ibu bapa tidak resah; anak tidak bimbang. Apa yang lebih bernilai kewujudan mentaliti yang betul terhadap usaha menimba ilmu. Sekolah bukan tempat untuk mendapat maklumat dan ilmu pengetahuan, ia hanya mendidik pelajar menjadi seorang yang mampu berfikir. Ia memberikan alat untuk terus meneroka alam melalui ilmu pengetahuan. Begitu juga peperiksaan. Ia bukan satu-satunya komponen untuk dijadikan penanda aras pencapaian akademik. Ini kerana ada komponen lain yang lebih penting iaitu kokurikulum dan sukan.