Kepulangan mengejut pemain bola sepak remaja kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor dari Portugal jelas mengejutkan pemerhati sukan tempatan.

Pemain yang dilihat sebagai prospek terbaik bola sepak negara ini diberi pelepasan oleh kelab Liga Super Portugal, SC Beira Mar selama enam bulan.

Tindakan kelab itu melepaskan Nazmi selama enam bulan turut menimbulkan persoalan, kerana dia mempunyai kontrak selama dua tahun.

Laman web rasmi Beira Mar, menyatakan bahawa Nazmi dilepaskan bagi membolehkannya menyertai saingan peringkat bawah umur Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) namun tiada pertandingan bawah umur membabitkan Harimau Muda A selain Sukan Sea 2013 di Myanmar pada Disember.

Tetapi Sukan Awami mengesahkan bahawa Nazmi bakal menyarung jersi PKNS Selangor selama tiga tahun dan satu pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat pada Sabtu.

Lebih menarik, pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) langsung tidak dimaklumkan kelab itu mengenai pelepasan Nazmi.

"Ini merupakan satu berita mengejutkan,bagi pihak saya dan juga FAM. Kita tidak mengetahui apa perkembangan selanjutnya. Jadi saya harap kita tunggu berita rasmi terutama yang dikeluarkan pihak Beira Mar," kata Kim Swee dalam temubual dengan saluran 801, Astro Arena di Gold Coast.

Tambah Kim Swee, beliau mahupun FAM, tidak sesekali meminta pelepasan Nazmi untuk persiapan ke Sukan Sea.

Sebelum perkhabaran kepulangan Nazmi dilaporkan, terdapat beberapa kenyataan dibuat pemain itu mengenai masalah peribadinya dalam akaun Twitter miliknya.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan Nazmi mengambil tindakan mengejut untuk pulang ke tanah air sedangkan dia mendapat peluang untuk mengembangkan bakatnya ke peringkat yang lebih tinggi di bumi Portugal?

Bapa Nazmi, Mansor Mustapha, pula sukar memberi penjelasan mengenai pelepasan yang diberi Beira Mar kerana mahu berbincang terlebih dulu dengan ejen pemain itu, Marco Guimaraes.

Namun, berdasarkan kenyataan Beira-Mar di laman web rasminya, ia memberi gambaran Nazmi yang meminta pelepasan untuk pulang ke Malaysia selama enam bulan.

Adakah dia gagal menyesuaikan diri di Portugal, gagal bersaing dengan pemain-pemain yang mempunyai susuk tubuh yang lebih sasa atau hanya sekadar kerana masalah dengan teman istimewa?

Apa pun punca yang mendorong Nazmi untuk pulang, peminat dan pemerhati berkemungkinan akan mula melihat kelibat pemain itu, sebagai satu lagi harapan prospek palsu bola sepak Malaysia.

Memang bukan mudah buat pemain tempatan mencipta nama sebagai pemain profesional di Eropah, kerana ia memerlukan persediaan serta kekuatan mental untuk menempuhi segala rintangan dan kesukaran di tempat orang.

Namun, Nazmi tidak seharusnya mensia-siakan peluang berkelana di Eropah ketika baru berusia 18 tahun, kerana dia juga adalah pemain termuda negara diberi peluang sedemikian.

Selaku penulis sukan, harapan saya hanya untuk Nazmi tidak mensia-siakan potensi yang dimilikinya.

Tidak lama sebelum ini, seorang bekas penegndali kebangsaan berkata kepada saya,sukar buat Nazmi berjaya di Eropah.

Jurulatih itu enggan menjelaskan kepada saya mengapa dia berkata begitu, tetapi kini saya berasa risau jika apa yang diramalkannya mungkin menjadi kenyataan.