Bola sepak dan hoki menjadi tumpuan utama laporan media arus perdana sepanjang minggu ini.

Wakil Singapura, Lions XII melakar sejarah apabila menjadi pasukan pertama dari republik itu untuk menjuarai Liga Super, selepas menewaskan Felda United 4-0 Selasa lalu.

Skaud bimbingan V Sundramoorthy itu jelas pasukan paling konsisten, apabila berjaya mengharungi rekod tanpa kalah sebanyak 16 perlawanan dalam saingan Liga Super.

Mungkin ramai yang menyifatkan, kejayaan Lions adalah kerana kelebihan beraksi di rumput tiruan Stadium Jalan Besar.

Tetapi saya percaya, ia bukan faktor utama kejayaan Lions.

Skuad Lions musim ini sebenarnya adalah barisan lebih muda, berbanding barisan musim lalu, kerana Singapura juga mempersiapkan barisan bawah 23 tahun, untuk ke Sukan Sea 2013 di Myanmar hujung tahun ini.

Hanya segelintir pemain senior seperti Shahril Ishak, Baihakki Khaizan, Harris Harun dan Izwan Mahbud dikekalkan sebagai watak pembimbing kepada pemain-pemain lebih muda Lions.

Pada pengamatan saya, Lions mengimbangi kekurangan penagalaman mereka menerusi corak permainan berdisiplin dan peracangan taktikal yang berjaya memberikan hasil.

Sebagai soerang penulis tempatan, sudah pasti saya lebih mahu melihat salah sebuah pasukan negeri atau kelab Malaysia yang muncul juara.

Namun, kemapuhan Lions pada musim ini jelas sukar dinafikan dan ia kini menjadi cabaran, buat pasukan-pasukan lain, untuk merampas kembali trofi Liga Super dari seberang tambak musim depan.

Kini, sudah terdapat desas-desus, beberapa pemain kebangsaan Singapura dalam skuad Lions XII akan dipancing beberapa pasukan utama Liga Super musim depan seperti Selangor dan juga Johor D-T.

Selain kejuaraan Liga Super, saya percaya tidak terlalu lewat buat saya mengucapkan tahniah kepada skuad Kelantan yang berjaya mempertahankan kejauraan Piala FA apabila menumpaskan pasukan berstatus bintang, Johor D-T 1-0 di pentas akhir.

Barisan bimbingan Bojan Hodak jelas tampak lebih bersedia, menghadapi pentas akhir berbanding skuad Harimau Selatan dan perancangan taktikal berkesan juga membolehkan The Re Warriors cemerlang.

Saingan hoki di Liga Hoki Dunia yang berlansung di Taman Daya turut mencuri tumpuan minggu ini, apabila skuad kebangsaan bimbingan Paul Revington tumpas 6-0 di tangan Jerman pada peringkat suku akhir.

Kekalahan bererti Malaysia kini perlu muncul juara saingan Piala Asia di Ipoh, Ogos ini untuk meraih tiket automatik ke Piala Dunia di Belanda tahun depan.

Apa pun, secara realistik kekalahan memang sudah dijangka berdepan Jerman yang juga juara Sukan Olimpik 2012.

Namun, apa yang mengecewakan ialah skuad negara gagal memberi saingan pada babak pertama.
Ia turut diakui sendiri Revington, yang berasa pemain-pemainnya seolah terlalu menghormati Jerman.
Bagi bekas kapten skuad kebangsaan, Mirnawan Nawawi...skuad negara kini sudah mampu bersaing dengan pasukan-pasukan di ranking 10 terbaik dunia sepeti England, Pakistan dan Korea Selatan.

Tetapi, Malaysia masih sukar memberi saingan kepda pasukan-pasukan terbaik dunia seperti Jerman, Australia dan juga Belanda.

"Sebenarnya kita sudah meningkat, hanya kini saya berharap pemain-pemain kita pada masa depan tahu kaedah terbaik untuk berdepan pasukan seperti Jerman.

"Australia dan juga Jerman, memang berada di kelas tersendiri dan kita perlu mempelajari kaedah sesuai untuk menyaingi mereka.

"Apa pun, ia meemerlukan masa dan saya percaya kita masa di landasan tepat," kata Mirnawan ketika dihubungi Astro Awani baru-baru ini.

Saya percaya apa yang dikatakan Mirnawan itu ada kebenaranya dan kita tidak perlu, terlalu cepat putus asa dengan skuad kebangsaan selepas kekalahan di tangan Jerman.

Diharapkan Revington dapat memperkukuhkan kembali barisan pemain, sebelum bersaing di Piala Asia.