
Porsche juga ada membawa sesuatu yang istimewa ke Tokyo; sebuah SUV yang pasti akan menarik minat mereka yang praktikal dan juga inginkan prestasi tinggi – Macan GTS. Seperti biasa, tiga huruf ini menjanjikan pengendalian lebih lincah dan juga keunikan tambahan pada rekaan asal.
Pertama, ia 15mm lebih rendah daripada Macan biasa hasil daripada casis PASM. Ini ditambah pula dengan roda 20 inci RS Spyder. Di bahagian dalam pula kelihatan kerusi GTS dan penggunaan kemasan Alcantara pada, antara lain, panel tengah dan papan pemuka.

Sistem Pengurusan Komunikasi (PCM) versi terkini juga muncul buat pertama kali di dalam model SUV Porsche. Antara penambahan ciri adalah ketersambungan telefon pintar menerusi Apple CarPlay.
Namun yang menjadi fokus bagi mana-mana model yang dilengkapi spesifikasi GTS adalah prestasi pemanduan. Untuk itu, Macan GTS ini diperkasa tambahan output sebanyak 20hp berbanding Macan S menjadikannya berjumlah 360hp. Tork pula adalah 500Nm. Dengan ini, ia hanya disaingi oleh varian Macan Turbo.

Sistem brek juga dipertingkatkan untuk memberi pemandu kawalan ke atas kemampuan baharu ini. Pecutan 0-100km/j mengambil masa sepantas 5.0 saat jika turut dipasang pakej pilihan
Sport Chrono (Jika tidak, 5.2 saat). Jangan lupa, bunyi yang keluar daripada sistem ekzos sekarang adalah jauh lebih garang!
Jualan bagi Porsche Macan GTS sudahpun bermula pada harga €73,400 (lebih kurang RM344,909 mengikut kadar tukaran semasa. Tanpa mengira cukai-cukai tempatan)