Klinik Sivananda terus berbakti tanpa mengira kaum
Di sebalik kibaran Jalur Gemilang dan laungan merdeka, ada semangat yang diterjemahkan dalam bentuk cukup bermakna apabila sebuah klinik amal membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan dan ubat secara percuma tanpa mengira kaum atau agama. Klinik Sivananda yang dikendalikan Divine Life Society di Batu Caves, Selangor, sejak lebih empat dekad lalu, terus menjadi wadah khidmat kemanusiaan dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma kepada masyarakat.