Kerajaan Indonesia mengarahkan pengendali pesawat AirAsia Indonesia untuk membayar pampasan kepada keluarga atau waris mangsa nahas QZ8501 dalam tempoh tujuh hari selepas jasad dikenalpasti.

Bagaimanapun, Menteri Perubahan Birokratik, Dr. H. Yuddy Chrisnandi berkata pihak pengurusan perlu mengenalpasti ahli keluarga atau waris yang layak menerima pampasan tersebut.

"Atas nama pemerintah, adalah berdasarkan siasatan, bantuan (wang pampasan) kepada jasad yang telah dikenalpasti seharusnya tidak lebih dari tujuh hari bekerja.

"Polda (Polis Daerah) Jawa Timur akan melakukan siasatan serta mencari waris keluarga yang layak menerima pampasan kerana ada antara mangsa yang maut adalah sekeluarga," kata Yuddy ketika melawat Pusat Krisis QZ8501 di Surabaya pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan AirAsia Indonesia, Raden Achmad Sadikin berkata pihaknya akan melaksanakan proses pembayaran pampasan mengikut prosedur ditetapkan.

AirAsia Indonesia menerusi beberapa penasihat undang-undang dan peguam akan mengenalpasti waris serta ahli keluarga yang layak menerima pampasan tersebut.

"Kita tidak mahu ansuransi (wang pampasan) jatuh ke tangan orang yang salah. Jadi kami akan teliti perkara ini sebaik mungkin dan mengikut prosedur yang ada," ujar Achmad Sadikin.

Katanya, bayaran awal yang diberikan kepada keluarga atau waris mangsa merupakan wang ihsan atas rasa tanggungjawab syarikat tersebut kepada keluarga.