Seramai 1,181 usahawan tani didaftarkan di bawah Agro Teras, program pembiayaan mikro Agrobank, bagi membantu usahawan kurang berkemampuan yang terlibat dalam perniagaan pertanian dan industri asas tani, setakat Februari lepas.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Masaat Awadz berkata 95 peratus daripada jumlah itu adalah wanita dari kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

"Melalui program pembiayaan khusus seperti ini, Agrobank bukan sahaja membantu usahawan baru mikro, tetapi juga menyokong penglibatan wanita di dalam bidang pertanian dan industri asas tani," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agro Teras, yang dilancarkan tahun lepas, menyediakan pembiayaan bagi membantu usahawan daripada golong miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) yang terlibat dalam perniagaan pertanian danindustri asas tani.

Program itu menyediakan dana secara berperingkat menggunakan model pembentukan kumpulan dengan pembiayaan minimum berjumlah RM1,000 yang akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sehingga RM30,000 bergantung kepada kemampuan dan rekod peserta.Masaat berkata Agrobank sentiasa menyokong usaha kerajaan memperkasakan wanita terutamanya dalam industri pertanian sejajar 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita.

"Setakat Disember 2017, 23.4 peratus pelanggan Agrobank merupakan wanita, dengan jumlah keseluruhan pembiayaan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM676 juta," katanya.

Beliau berharap lebih banyak lagi usahawan wanita melibatkan diri dalam bidang pertanian pada tahun ini dan Agrobank bukan sahaja menyediakan pembiayaan malah turut memberi tunjuk ajar kepada mereka melalui pelbagai program.

- BERNAMA